AM

LZS agih RM77.7 juta bantuan untuk asnaf, golongan bersasar

05/12/2022 07:21 PM

PETALING JAYA, 5 Dis (Bernama) -- Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan agihan zakat sebanyak RM77.7 juta menerusi 10 inisiatif bantuan Zakat Selangor Peduli (ZSP) untuk asnaf dan golongan bersasar sejak Oktober lepas hingga bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata peruntukan tersebut memanfaatkan golongan asnaf, B40, M40 dan institusi di Selangor yang bergelut dengan kos sara hidup pasca-COVID-19 dan kejadian banjir tahun lepas.

“Penyaluran zakat secara bersasar adalah untuk mengurangkan beban kos sara hidup akibat inflasi terhadap asnaf fakir, miskin dan menyokong pemulihan institusi di Selangor,’’ katanya berucap pada majlis pelancaran Kempen Kongsi Rezeki dengan 2.5 peratus di Subang Jaya dekat sini hari ini. 

Beliau berkata melalui ZSP, Bantuan Khas Keperluan Hidup (Inflasi) sebanyak RM33.5 juta telah diperuntukkan oleh LZS kepada 67,000 penerima terdiri daripada asnaf fakir, miskin dan mualaf bermula hari ini.

“Bantuan ‘one-off’ (sekali beri) sebanyak RM500 adalah bantuan tambahan daripada bantuan sedia ada yang diterima agar golongan tersebut dapat memanfaatkan bagi keperluan susulan peningkatan kos sara hidup.

“Bantuan itu akan dikreditkan secara terus ke akaun bank asnaf yang berdaftar dengan LZS bermula hari ini,’’ katanya.  

Inisiatif ZSP diperkenalkan pada 2021 bagi menyalurkan bantuan kepada golongan bersasar dan melibatkan agihan zakat sebanyak RM62.5 juta.

Sementara itu, Kempen Kongsi Rezeki dengan 2.5 peratus bertemakan 'Sedikit Bagi Anda, Segalanya Buat Mereka' dilancarkan bagi menggalakkan umat Islam menunaikan kewajipan zakat sebelum akhir tahun yang bermula 15 Nov lepas hingga 31 Dis ini.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan