EKONOMI

Kementerian Ekonomi akan bekerjasama dengan kementerian lain perkukuh hasil negara -- Rafizi

06/12/2022 03:02 PM

PUTRAJAYA, 6 Dis (Bernama) -- Kementerian Ekonomi akan bekerjasama rapat dengan kementerian lain untuk menyediakan senario dan perancangan bagi memastikan Malaysia meraih pendapatan yang lebih kukuh. 

Menterinya Mohd Rafizi Ramli berkata isu-isu ekonomi berstruktur, yang kini merupakan fokus utama bagi kerajaan perpaduan, perlu ditangani dengan pendekatan lebih kreatif dan inovasi terutamanya memandangkan cabaran yang dihadapi negara sekarang.

“Malaysia tidak boleh terlalu bergantung kepada hasil yang berasaskan kepada sumber semula jadi atau komoditi. 

“Saya yakin ia adalah perkara yang akan menjadi fokus untuk memastikan hasil kita lebih kukuh,” katanya kepada pemberita selepas persidangan permulaan kajian semula separuh penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) di sini, hari ini. 

Mohd Rafizi berkata beliau berharap dapat melihat pendekatan daripada pelbagai sudut untuk mengukuhkan hasil negara.

Menurutnya, pencukaian bukan satu-satunya sudut yang perlu diberi tumpuan bagi tempoh jangka panjang.

“Kita mahu mempelbagaikan pencukaian kita agar ia menjadi lebih kukuh dan kurang bergantung kepada industri tertentu.

“Bagaimanapun, proses itu tidak boleh diputuskan atau dilakukan secara mengejut dalam masa beberapa bulan, ia akan mengambil sedikit masa, tetapi tugas kami (kementerian) adalah untuk memastikan kami menyediakan perancangan yang mencukupi untuk dipertimbangkan oleh Kabinet,” katanya.

Apabila ditanya sama ada Bajet 2023 akan lebih kecil atau besar berbanding yang diumumkan oleh kerajaan sebelumnya, beliau berkata ia perlu dijawab oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mohd Rafizi berkata kerajaan berusaha untuk membentangkan belanjawan persekutuan yang mampan yang dijadual dibentangkan tahun depan. 

Kementerian Ekonomi akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan berhubung perkara ini yang merupakan satu daripada tugas paling penting bagi kerajaan baharu itu, katanya.

“Kami akan sangat sibuk dengan perkara ini dalam tempoh sebulan dua ini,” kata Mohd Rafizi, sambil menambah kementeriannya menumpukan kepada perancangan jangka panjang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan