KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga tokoh perbankan dan pengasas Public Bank Bhd Tan Sri Teh Hong Piow, yang meninggal dunia hari ini.
Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.
Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara malam ini, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian mendiang selain menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mendiang sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu itu.
“Seri Paduka berdua menghargai sumbangan mendiang kepada industri perbankan dan kewangan serta ekonomi negara. Baginda berdua turut menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kepada dunia perbankan negara,” demikian menurut catatan itu.
Teh, 92, yang meninggal dunia pada 10.20 pagi hari ini merupakan antara individu penting dan umpama gergasi dalam pembangunan institusi kewangan di Malaysia.
Mendiang telah menubuhkan Public Bank pada 1965 dan sejak itu, mendiang telah menyelia evolusinya menjadi sebuah institusi kewangan moden dan bersepadu dengan rangkaian luas lebih 200 cawangan domestik dan luar negara.
Public Bank juga adalah antara bank utama di Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial