PUTRAJAYA, 16 Dis (Bernama) -- Suruhanjaya Tenaga (ST) menyarankan kepada Pengendali Titik Pengecasan (CPO) yang terlibat dalam pembangunan infrastruktur pengecas kenderaan elektrik (EV) agar segera mendapatkan lesen pengagihan awam yang sah bagi pepasangan Sistem Pengecas EV (EVCS) di negara ini, termasuk yang telah beroperasi, selewat-selewatnya pada 31 Mac depan.
ST Selaku badan kawal selia sektor tenaga dalam kenyataannya hari ini, memaklumkan lesen pepasangan EVCS perlu dimohon oleh CPO bagi memastikan pepasangan seumpama itu di seluruh negara selamat digunakan dan sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.
"Keperluan ini adalah selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 9(1)(b) Akta Bekalan Elektrik 1990 (Pindaan 2015) [Akta A1501] yang menyatakan lesen akan diberikan kepada CPO yang menjalankan aktiviti pembekalan elektrik bagi tujuan komersial mengikut lokasi pemasangan, bagi tempoh 10 tahun,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, skop pelesenan ST bagaimanapun hanya mengawal selia aspek keselamatan dan teknikal sahaja dan tidak melibatkan aspek kawal selia ekonomi.
“CPO yang menjalankan operasi pepasangan EVCS tanpa lesen sah dari ST adalah satu kesalahan dan boleh diambil tindakan selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 37(5) Akta Bekalan Elektrik 1990 [Akta 447],” menurutnya.
Di bawah peruntukan itu, jika didapati bersalah CPO, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 dan denda tambahan tidak melebihi RM1,000 bagi tiap-tiap hari atau sebahagian daripada sehari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial