AM

KPM sahkan murid, guru SJKC Mun Choong terlibat tragedi tanah runtuh Batang Kali

16/12/2022 10:09 PM

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengesahkan terdapat guru dan murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Mun Choong yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Selangor awal pagi tadi. 

Bagaimanapun, beliau berkata lawatan kumpulan itu ke lokasi terbabit bukan anjuran pihak sekolah sebaliknya merupakan kunjungan persendirian.

“Barangkali ia adalah lawatan keluarga atau kawan-kawan, kami masih tidak pasti. Kami masih lagi dalam proses untuk mendapatkan fakta yang tepat berkaitan lawatan mereka ke sana," katanya kepada pemberita semasa meninjau situasi di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh dekat sini hari ini.

Mayat mangsa tragedi itu dibawa ke hospital berkenaan untuk proses bedah siasat. 

Fadhlina berkata pihaknya juga sedang mengenal pasti jika ada lagi murid yang menjadi mangsa dalam insiden itu.

Beliau berkata pihaknya sedia menghulurkan bantuan kewangan dan khidmat psikososial kepada guru, murid serta waris yang terlibat dalam tragedi itu. 

Fadhlina turut meminta waris mangsa yang terkorban diberi ruang supaya mereka dapat bersabar dalam menjalani proses pengecaman mayat.

"Saya merakamkan rasa berduka dan takziah kepada waris mangsa yang terlibat. Mudah-mudahan proses ini dapat dipercepat serta dipermudah untuk semua waris dan juga mangsa," katanya.

Insiden sekitar 2.42 pagi itu, yang melibatkan runtuhan sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter, menyebabkan 21 orang maut setakat 7.10 malam.

Seramai 12 mangsa masih hilang manakala 61 orang terselamat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan