AM

TUDM sedia bantu operasi SAR tanah runtuh di Batang Kali

17/12/2022 02:55 PM

ALOR SETAR, 17 Dis (Bernama) -- Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersedia menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan di Batang Kali, Selangor, sekiranya diperlukan.

Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan berkata walaupun operasi SAR dikendalikan pelbagai jabatan yang berkaitan, anggota TUDM sentiasa bersiap sedia membantu dan menyokong keperluan operasi itu.

“Pihak TUDM sentiasa bersedia sekiranya diperlukan, misalnya bantuan dari segi aset jika ada keperluan untuk mengeluarkan mangsa yang menghadapi kesukaran, kita sudah bersedia.

“Kami ada aset atau peralatan yang boleh digunakan untuk membantu, begitu juga dari segi anggota,” katanya ketika mengulas kesediaan TUDM membantu operasi SAR tragedi tanah runtuh itu yang kini dilaporkan telah meragut 21 nyawa, manakala 12 mangsa lagi dikhuatiri masih hilang.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Penyampaian Sayap Penerbangan Kursus Asas Penerbangan Siri 83/21 dan Kursus Penerbangan Helikopter 63/21 di Kolej Tentera Udara di sini hari ini.

Pada majlis itu seramai 30 pelatih menerima sayap penerbangan masing-masing termasuk lima daripada mereka dianugerahkan sebagai Pelatih Terbaik bagi Piala Panglima Tentera Udara.

Mengulas mengenai kesiapsiagaan TUDM menghadapi bencana banjir, Mohd Asghar Khan berkata aset pasukan keselamatan itu telah diletakkan di lokasi tertentu dan bersedia untuk digerakkan sekiranya diperlukan.

“Secara keseluruhan untuk operasi banjir ini kita namakan Operasi Murni, yang diterajui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan TUDM akan memberi bantuan atau sokongan berdasarkan keperluan.

“Jadi di setiap kawasan di bawah Briged Tentera Darat ini kita sudah ada komander yang ditugaskan bersama agensi bencana negeri. Apabila berlaku apa-apa malapetaka kita akan beri bantuan kerana kita sudah bersedia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan