GEORGE TOWN, 17 Dis (Bernama) -- Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) komited menjadikan sektor pekerja pembersihan sebagai profesion yang mempunyai kemahiran tinggi melalui kerjasama dengan universiti awam, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada keperluan pekerja asing dalam sektor ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk M Noor Azman Taib berkata pada Februari 2022 yang lepas, SWCorp telah menjalinkan kerjasama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam.
Katanya USM merupakan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tunggal di negara ini yang mempunyai kluster pengurusan sisa pepejal serta IPTA yang pertama melaksanakan pensijilan kemahiran Malaysia dalam bidang pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam bagi SKM Tahap 2 dan 3.
Inisiatif baharu ini adalah dengan melaksanakan program Dual Certificate iaitu pelajar IPTA akan dianugerahkan dua sijil selepas tamat pengajian iaitu sijil Ijazah Sarjana Muda melalui pengajian di IPTA dan juga Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) melalui kaedah SLDN melalui Pusat Latihan SWTC.
“Modul latihan kemahiran dalam bidang PSPPA akan mula diperkenalkan kepada dua lagi universiti awam iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bermula Januari 2023 serta melibatkan sasaran 300 pelajar IPTA untuk menyertai program tersebut.
“Bagi sektor industri pula, pelawaan turut dibuka kepada operator tapak pelupusan sampah dan kontraktor yang menguruskan sisa pepejal negara agar matlamat untuk mewujudkan rantaian tenaga kerja mahir di sektor pengurusan sisa pepejal ini dapat direalisasikan,” katanya dalam ucapan perasmian di Majlis Konvokesyen SWCorp Kali Kedua di USM di sini hari ini.
Tambahnya, pelaksanaan Sistem Pensijilan Kemahiran Malaysia kepada pekerja sektor pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam (warganegara Malaysia sahaja) oleh pihak KPKT melalui SWCorp adalah selari dengan hasrat kerajaan untuk memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia.
Katanya ini mampu memberikan impak yang positif dalam peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada keperluan pekerja asing dalam sektor ini.
Pada majlis itu, M Noor Azman menyampaikan anugerah kepada 200 orang perantis Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2 bagi program latihan kemahiran berkaitan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam di USM.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial