AM

Banjir: Pujuk mangsa enggan pindah cabaran kepada anggota bomba

20/12/2022 09:55 AM

KUALA TERENGGANU, 20 Dis (Bernama) -- Bencana banjir yang melanda Terengganu ketika ini bukan sahaja memberi kesan kepada penduduk, tetapi turut dirasai pasukan keselamatan khususnya anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat yang terpaksa mengharungi pelbagai kesukaran demi menyelamatkan mangsa.

Kejadian banjir yang mula melanda negeri ini pada 14 Dis lepas menyaksikan 29,717 mangsa melibatkan lebih 8,000 keluarga diselamatkan dan dipindahkan ke 293 pusat pemindahan sementara (PPS) yang sedang beroperasi di kesemua lapan daerah, setakat malam tadi.

Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Ahmad Izram Osman berkata secara umumnya operasi menyelamat dan memindah mangsa terjejas banjir berjalan lancar.

Bagaimanapun, terdapat cabaran besar yang dihadapi pihaknya termasuklah berdepan dengan mangsa yang enggan berpindah walaupun kawasan atau kediaman mereka telah dinaiki air.

"Walaupun sudah biasa dengan kerenah mangsa yang berdegil apabila diarahkan berpindah tetapi dalam keadaan kecemasan seperti bencana banjir ini, kesabaran anggota kami juga sedikit tercabar.

“Saya sering ingatkan anggota bahawa selain kekuatan fizikal, kesabaran juga amat diperlukan dalam menjayakan misi menyelamat yang dilaksanakan," katanya ketika ditemui semasa menyertai operasi memindah dan menyelamat mangsa banjir di Kampung Pulau Rusa Hulu, di sini malam tadi.

Turut serta dalam operasi itu adalah Pengarah Penyiasatan Kebakaran JBPM Putrajaya Azimin Mat Noor; Pengarah JBPM Terengganu Mohd Holman Abdul Rashid dan timbalannya Mohd Khairiri Mat Resad @Arshad.

Ahmad Izram berkata dalam situasi kecemasan seperti ini, matlamat utama mereka adalah menyelamatkan mangsa walaupun terpaksa 'menahan rasa' ketika memujuk serta merayu sehingga mangsa bersetuju untuk dipindahkan.

"Apabila mangsa setuju berpindah, ia adalah kejayaan buat kami…apa yang kami lakukan adalah semata-mata untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini daripada berlaku," katanya.

Dalam operasi di Kampung Pulau Rusa Hulu, Ahmad Izram sendiri membantu memujuk beberapa mangsa banjir yang enggan berpindah walaupun kediaman mereka telah melepasi paras pinggang orang dewasa.

Antara yang berjaya dipujuk adalah seorang warga emas yang hanya mahu dikenali sebagai Nek Mah, 70, yang pada awalnya berkeras untuk terus tinggal di rumah bersama anak, menantu dan tiga orang cucu. 

Selain Nek Mah, seramai 28 mangsa daripada 10 keluarga dari kampung tersebut berjaya dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan Bukit Losong dalam operasi yang berakhir kira-kira 12.45 malam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan