AM

Kementerian Perpaduan cadang perkenal slogan ‘Ini Malaysia Kita’ tingkat patriotisme rakyat

09/01/2023 09:22 PM

KANGAR, 9 Jan (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara bercadang memperkenalkan slogan ‘Ini Malaysia Kita’ bagi meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.

Menterinya Datuk Aaron Ago Dagang berkata pihaknya akan mengemukakan perkara itu kepada Kabinet untuk kelulusan.

“Inisiatif ini berlandaskan prinsip asas Rukun Negara yang bertujuan menyemai dan memupuk semangat perpaduan dalam kepelbagaian dan rasa cinta kepada tanah air.

"Kita mahu keamanan, rakyat hidup sejahtera dan gembira,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perjumpaan dan Amanat Peringkat Negeri Perlis dan Kedah di Dewan 2020 hari ini.

Majlis dihadiri kira-kira 700 warga kementerian itu yang terdiri daripada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Jabatan Muzium Malaysia, Arkib Negara Malaysia dan Perpustakaan Negara Malaysia bagi Perlis dan Kedah.

Sementara itu, Aaron berkata Kajian Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2.0 telah dilaksanakan secara bersama dengan Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi melihat kedudukan tahap perpaduan terkini.

“Kajian IPNas 2.0 menunjukkan pencapaian pada nilai 0.629 yang membawa maksud kesepaduan nasional negara berada pada tahap sederhana dan terkawal.

“’Tahap kesepaduan sosial pada 2022 menunjukkan peningkatan sebanyak 0.062 (6.2 peratus) daripada nilai indeks 0.567 yang dicapai pada 2018,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan