JENAYAH & MAHKAMAH

Keputusan bantahan awal petisyen Marang 12 Feb ini

30/01/2023 05:30 PM

KUALA TERENGGANU, 30 Jan (Bernama) -- Mahkamah Pilihan Raya Terengganu di sini, hari ini menetapkan 12 Feb depan bagi keputusan bantahan awal petisyen Parlimen Marang.

Pada prosiding hari ini, Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani mendengar hujahan daripada peguam Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mewakili Ahli Parlimen Marang Tan Sri Abdul Hadi Awang (PAS) dan peguam  Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili pempetisyen Jasmira Othman (UMNO).

Selain itu, Abdul Hadi turut diwakili peguam Wan Rohimi Wan Daud dan Saifuddin Othman, manakala Jasmira diwakili Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff, Norhazira Abu Haiyan dan Muhammad Amin Othman.

Dalam prosiding itu hakim turut meminta pihak pempetisyen dan responden memasukkan hujah tambahan sebelum 6 Feb ini.

Pada 3 Jan lepas, Badan Perhubungan UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Marang di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dilaporkan berkata, petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan PAS menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 Nov lepas iaitu beberapa hari sebelum PRU15, melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.

Selain Marang, petisyen tersebut turut difailkan terhadap Parlimen Kuala Terengganu dan Kemaman.

Pada PRU15, Abdul Hadi memenangi kerusi Parlimen Marang dengan majoriti 41,729 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Jasmira Othman, calon Pakatan Harapan (PH) Azhar Ab. Shukur dan calon Pejuang Dr. Zarawi Sulong.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan