EKONOMI

Perdagangan EU-Malaysia capai peringkat prapandemik menjelang akhir tahun - Duta Michalis Rokas

30/01/2023 08:38 PM

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) – Kesatuan Eropah (EU) menjangkakan perdagangan dengan Malaysia akan pulih ke tahap prapandemik menjelang akhir tahun ini.

Duta EU ke Malaysia, Michalis Rokas berkata kesatuan politik yang melibatkan 27 negara Eropah berikrar untuk terus menjadikan Malaysia sebagai rakan strategiknya memandangkan negara ini merupakan pintu masuk yang penting ke pasaran ASEAN.

“Negara-negara ASEAN secara amnya adalah destinasi yang hebat. Ia adalah penting secara strategik bagi kami dan 45 peratus daripada perdagangan kami (ke ASEAN) melalui perairan Malaysia. Jadi ia adalah penting,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu di program Bernama TV “The Nation”, bertajuk “Malaysia-EU Relations” hari ini.

Rokas berkata EU dan Malaysia telah membentuk hubungan dua hala yang kukuh dan komitmen pelaburan selama beberapa dekad walaupun sebelum diperkenalkan dengan sebarang alat perjanjian atau instrumen perdagangan.

“Ini bermakna Malaysia sudah pun menjadi rakan kongsi yang dipercayai untuk EU, kerana sistem demokrasinya, kedaulatan undang-undang, orang tempatan yang boleh bertutur bahasa Inggeris, kemudahan menjalankan perniagaan dan tenaga kerja mahir,” katanya.

Duta Besar itu berkata, Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perjanjian Perkongsian dan Kerjasama (PCA), yang ditandatangani di Brussels pada Disember tahun lepas, akan menyediakan batu loncatan penting yang meningkatkan perdagangan EU-Malaysia dan pelaburan langsung asing (FDI).

Ketika prapandemik, perdagangan dua hala EU-Malaysia berjumlah lebih 300 bilion euro tetapi ia merosot kepada 50 bilion euro selepas pandemik melanda di tengah-tengah gangguan rantaian bekalan, kekurangan buruh dan penutupan kilang, kata beliau.

Sambil menyatakan minatnya untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan baharu di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pelbagai pembaharuan, Rokas berkata terdapat hampir 1,500 syarikat Eropah beroperasi di Malaysia pada masa ini.

Bagi potensi kerjasama di masa depan, beliau berkata antara bidang utama ialah dalam teknologi hijau, pendigitalan dan keselamatan siber, di samping pembangunan manusia, pendidikan serta logistik dan pembuatan komoditi.

Mengenai kebimbangan terhadap cadangan undang-undang EU mengenai eksport komoditi tertentu, termasuk minyak sawit, dan produk yang berkaitan dengan penebangan hutan dan degradasi hutan, beliau memberi jaminan bahawa tiada tindakan larangan yang diambil oleh blok perdagangan itu dan import minyak sawit dari Malaysia akan diteruskan.

“Tiada apa yang perlu dibimbangkan oleh Malaysia kerana negara ini telah berjanji dengan tegas untuk tidak lagi menebang hutan.

“Di samping itu, 97 peratus pengeluaran minyak sawit Malaysia dilindungi oleh Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) dan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) yang mana kedua-duanya adalah pensijilan untuk membendung penebangan hutan,” katanya.

Beliau menyatakan bahawa sesi libat urus dengan Timbalan Perdana Menteri, yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof, bersama pihak berkepentingan industri akan diadakan dalam tempoh terdekat bagi membincangkan isu lanjut berkaitan industri, termasuk undang-undang EU itu, kepada pasaran secara besar-besaran.

Rokas menjangkakan undang-undang itu akan berkuat kuasa pada suku pertama 2024 apabila pengendali dan pedagang mempunyai 18 bulan untuk melaksanakan peraturan baharu tersebut.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan