AM

KDN LAKSANA KLASIFIKASI FILEM 2023 BERKUAT KUASA HARI INI

01/02/2023 11:42 AM

PUTRAJAYA, 1 Feb (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Lembaga Penapis Filem (LPF) menetapkan lima pengelasan atau Klasifikasi Filem 2023 yang baharu berkuat kuasa hari ini, selaras dengan keperluan semasa industri perfileman dan penyiaran dalam negara.

Pengelasan itu ialah klasifikasi ‘U’ bagi penonton semua peringkat umur, ‘P12’ bagi penonton semua peringkat umur dan bimbingan ibu bapa diperlukan bagi penonton berumur di bawah 12 tahun, ‘13’ bagi penonton berumur 13 tahun ke atas, ‘16’ bagi penonton berumur 16 tahun ke atas dan ‘18’ bagi penonton 18 tahun ke atas.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata KDN telah menambah baik klasifikasi filem sedia ada yang dilaksanakan oleh LPF sejak 2012 dengan memperkenalkan Klasifikasi Filem 2023, yang telah diwartakan melalui Peraturan-Peraturan Penapisan Filem (Pengelasan Filem) 2023 pada 9 Jan lepas.

“Prinsip yang diberi keutamaan untuk penentuan klasifikasi filem ialah memelihara kebebasan penonton dewasa untuk memilih filem yang ingin ditonton, melindungi kanak-kanak dan remaja di bawah usia 18 tahun daripada terdedah dengan kandungan filem yang tidak sesuai dengan peringkat umur mereka serta boleh merosakkan pemikiran dan tingkah laku mereka.

“Ia termasuk menggalakkan ibu bapa agar lebih bertanggungjawab dalam membimbing anak-anak memilih kandungan filem yang sesuai untuk ditonton,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata Klasifikasi Filem 2023 itu dihasratkan akan memberi kesan positif dalam aspek penyeragaman dan peningkatan standard klasifikasi filem di Malaysia agar setanding dengan sistem klasifikasi atau penarafan filem yang dilaksanakan di luar negara.

“Selain itu, diharapkan agar Klasifikasi Filem 2023 dapat dijadikan panduan dan rujukan oleh penerbit dan pengarah filem tempatan serta dapat menyokong peluasan kreativiti dalam kalangan industri filem dan penyiaran, namun pada masa yang sama tidak melanggar Garis Panduan Penapisan Filem KDN 2010,” katanya.

Pengelasan filem diperkenalkan pada 1953 yang mengelaskan filem kepada dua kategori iaitu Untuk Orang Dewasa Sahaja dan Tontonan Umum dan mulai 1996, pengelasan berubah kepada ‘U’ dan ‘18’ yang terbahagi kepada empat kategori kecil iaitu ‘18SG’, ‘18SX’, ‘18PA’ dan ‘18PL’.

Seterusnya, pada April 2010 pengelasan filem berubah kepada ‘U’, ‘PG13’ dan 18. Pada Januari 2012 pula, pengelasan berubah kepada seperti sebelum ini iaitu ‘U’, ‘P13’ dan ‘18’. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan