JENAYAH & MAHKAMAH

JPJ P.Pinang saman bengkel ubah suai motosikal secara haram

02/02/2023 09:12 PM

GEORGE TOWN, 2 Feb (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengeluarkan 66 notis saman kepada lima bengkel yang dipercayai mengubah suai motosikal secara haram di sekitar daerah Timur Laut dan Barat Daya dalam usaha membanteras kegiatan lumba haram di negeri ini.

Pengarahnya Adenan Md Isa berkata menerusi Ops Bengkel itu, pihaknya telah memeriksa lima bengkel dan mendapati 24 motosikal yang terdapat di situ melakukan pelbagai kesalahan berkaitan mengubah suai tanpa kebenaran.

"Dalam pemeriksaan di lima buah bengkel itu, sebanyak 66 notis saman dikeluarkan melibatkan 30 kesalahan iaitu memasang tayar sotong, mengubah ekzos, memasang alat mengawal kelajuan, mengubah sistem enjin, mengubah lengan ayun dan lain-lain," katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi itu di sebuah bengkel motosikal di Jalan Gudwara, di sini hari ini.

Operasi selama dua jam bermula 1 tengah hari itu, disertai 120 pegawai dan anggota JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Adenan berkata notis saman dikeluarkan mengikut Seksyen 6 dan Sekyen 59 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pengusaha bengkel serta pemilik motosikal diarahkan untuk membetulkan semua motosikal yang telah diubah suai kepada standard.

Katanya dalam operasi itu juga, pihaknya menasihatkan pemilik bengkel agar menghentikan proses ubah suai motosikal secara haram bagi memastikan kegiatan lumba haram atau merempit tidak dilakukan oleh geng mat rempit.

"Pemeriksaan kami mendapati antara proses ubah suai yang sering dilakukan mereka ialah melibatkan pemotongan brek motosikal bagi meningkatkan kelajuan enjin kerana apabila motosikal ditanggalkan brek, geseran tidak berlaku pada tayar dan ia membolehkan enjin mempunyai kuasa memecut yang lebih laju,” katanya.

Beliau berkata bengkel motosikal di Jalan Gudwara sering menjadi tumpuan mat rempit untuk mengubah suai motosikal secara haram dan ia pernah diserbu tahun lepas malah dikenakan saman kerana kesalahan sama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan