KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan melaksanakan kutipan derma di masjid-masjid seliaan agensi itu untuk membantu mangsa gema bumi di Tukiye dan Syria.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata kutipan sumbangan berkenaan akan dilaksanakan pada setiap Jumaat selama tiga minggu berturut-turut bermula esok.
Mohd Na’im berkata JAKIM akan membuat kutipan di Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya manakala JAWI akan membuat kutipan derma di masjid dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
“Perkara tersebut adalah selaras dengan pemakluman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mewujudkan satu tabung rasmi oleh kerajaan dan semua sumbangan akan di serahkan ke dalam tabung tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvesyen Huffaz Profesional Peringkat Antarabangsa (InFaz) 2023 di Dewan Seri Sarjana, Universiti Tenaga Nasional, Kajang, Selangor hari ini.
Beliau juga mengesyorkan kepada pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri untuk turut mengadakan kutipan derma dan sumbangan umat Islam menerusi masjid-masjid di seluruh negara untuk disalurkan kepada program bantuan kemanusiaan di Turkiye dan Syria.
Katanya, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM Ruslan Said telah mengadakan perbincangan bersama kesemua agensi agama Islam negeri bagi penyelarasan kutipan sumbangan di peringkat negeri berkenaan.
“Saya menyeru seluruh umat Islam khususnya mereka yang hadir menunaikan solat Jumaat, bersama-sama memberi sumbangan sebanyak yang boleh mengikut kemampuan kita bagi membantu saudara- saudara yang terkena musibah gempa bumi di sana.
“Alhamdulilah saya rasa masyarakat di Malaysia amat terkenal dengan sifat dermawan dan insya-Allah ini masa kita menyumbang dan memberi bantuan kepada yang memerlukan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah bersetuju untuk menyumbang RM1 juta ke dalam tabung tersebut untuk membantu mangsa terlibat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial