KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Mulai hari ini, pengguna yang ingin mendaftar dengan aplikasi MyJPJ perlu memasukkan nombor unique alphanumeric identifier yang tertera pada belakang lesen memandu masing-masing.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata hal ini ekoran keputusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pagi ini untuk menambah satu lagi ciri pada aplikasi itu bagi meningkatkan tahap keselamatannya.
“Mereka yang sudah mendaftar melalui aplilasi MyJPJ tidak perlu memasukkan nombor berkenaan. Langkah keselamatan ini adalah untuk pengguna baharu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Arts of The Move initiated by Think City di MRT Pasar Seni di sini hari ini.
Menurut Loke, JPJ meningkatkan ciri keselamatan itu susulan aduan sebelum ini bahawa pendaftaran aplikasi berkenaan hanya memerlukan nombor kad pengenalan dan ia boleh disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab.
Beliau berkata nombor unique alphanumeric identifier berbeza bagi setiap lesen memandu yang dikeluarkan oleh JPJ.
Loke berkata pengguna yang tidak boleh menggunakan nombor kad pengenalan untuk mendaftar dalam MyJPJ berkemungkinan pernah menggunakan nombor kad pengenalan sama ketika mendaftar menerusi aplikasi MySikap atau JPJe-bid.
“Tidak boleh daftar guna kad pengenalan yang sama untuk kali kedua,” katanya.
Sebelum ini, Loke mengumumkan pemilik kenderaan persendirian tidak perlu lagi mempamerkan cukai jalan masing-masing berkuat kuasa serta-merta, sebaliknya hanya perlu menunjukkan dokumen berkenaan melalui aplikasi MyJPJ yang dibangunkan secara dalaman.
Sementara itu, Think City dalam kenyataan memaklumkan Arts On The Move ialah sebuah program yang bertujuan menghubungkan seni dan budaya serta pusat bandar Kuala Lumpur kepada penumpang MRT dan pengunjung.
“Arts On The Move akan berlangsung setiap dua minggu bermula Februari hingga Jun ini antara 5 petang hingga 6 petang.
“Program itu akan menampilkan persembahan berkualiti terpilih, pemasangan seni dan bengkel untuk dinikmati dan disertai penumpang,” menurut kenyataan itu.
Arts On The Move disokong oleh MRT Corporation, Yayasan Sime Darby, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial