FOKUS BERNAMA

Perspektif: Kenaifan Membawa Mereka Ke "Neraka Dunia"

13/03/2023 02:20 AM
Daripada Nina Muslim

BANGKOK (Bernama) -- Tatkala penerbangan yang membawa kami pulang ke tanah air meluncur di udara, meninggalkan Lapangan Terbang Suvarnabhumi di sini pada lewat petang Jumaat lepas, Ahli Dewan Undangan Negeri Teruntum Sim Chon Siang bertegas itu adalah kali terakhir beliau datang menyelamatkan rakyat Malaysia yang terkandas selepas dikatakan terpedaya dengan sindiket penipuan di Myanmar. 

Lima anak muda dibawa pulang hari itu, merangkumi empat lelaki dan seorang wanita. Kesemuanya dipercayai diseludup masuk menerusi Thailand ke KK Garden yang juga dikenali sebagai “Garden of Hell” di Myanmar atau ke negara-negara lain.

Bukan kali pertama Sim berkata demikian. Sebelum inipun beliau pernah menyatakan hasrat sama. Beliau berharap misi dari 3 hingga 7 Feb itu akan menjadi kejayaan penutup kepada pembabitan secara tidak sengaja beliau dalam usaha menyelamatkan anak muda Malaysia yang menjadi mangsa penipuan pekerjaan di luar negara.

Sudah hampir setahun Sim terlibat dalam kegiatan itu, dan inisiatif yang pada mulanya memberi kepuasan kepada beliau, kini mula melelahkan dari segi mental dan emosi, belum lagi disebut soal kewangan.

Beliau penat, kongsinya kepada penulis yang dipelawa turut serta dalam misi menyelamatkan lima individu berkenaan. Menurut Sim, dalam tempoh setahun lalu, beliau berulang-alik dari Malaysia-Thailand berpuluh-puluh kali, kesemuanya menggunakan duit sendiri, bagi menyelamatkan belia Malaysia yang percaya mereka akan dibayar gaji lebih RM4,000 sebulan walaupun sebagai pekerja tidak berkemahiran.  

“Ini bukan kerja saya. Ini kerja Menteri Luar Negeri. Kerja saya jaga harga telur ayam dekat Pahang,” rungutnya. Sim sebenarnya adalah Exco kerajaan negeri Pahang yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal pengguna dan sumber manusia negeri itu.

Penglibatan Sim dalam usaha menyelamatkan rakyat Malaysia yang ditipu dan terkandas di luar negara bermula dengan gadis berusia 22 tahun, Chia Ming Yong yang dilaporkan hilang pada April tahun lepas. Kisah kehilangan wanita muda ini menjadi tajuk muka depan akhbar berbahasa Cina di Malaysia selama berminggu-minggu.

 Kes ini menarik perhatian Sim dan Victor Wong, seorang ahli perniagaan Malaysia yang berpangkalan di Thailand.

pic-2

Sim sebelum itu cuba membantu Loke Chooi Tip, seorang pengundi di kawasannya, menyelamatkan anak bongsunya Koh Sheng Yur, 19, yang dibawa ke Myanmar. Walaupun beliau gagal membebaskan remaja lelaki itu, Sim memutuskan untuk terus membantu mangsa lain. (Koh berjaya diselamatkan tahun lepas oleh Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia yang juga ahli perniagaan Datuk Seri Johny Ch’ng Ewe Gee)  

Dalam tempoh yang singkat, pejabat Sim dihujani panggilan telefon daripada keluarga dan mangsa sindiket penipuan pekerjaan dan penipuan asmara. Kebanyakannya bukan dari Pahang. Sim bertemu dengan keluarga mangsa dan terbang ke Thailand. Pegawai di Kedutaan Besar Malaysia di Thailand memperkenalkan beliau dengan Wong yang juga secara bersendirian cuba membantu mangsa pulang ke tanah air. Yang menggembirakan ialah Wong mempunyai kenalan yang boleh membantunya mendapatkan maklumat dan pertolongan daripada pihak berkuasa Thailand. 

Untuk menolak permintaan keluarga mangsa yang bagaikan sudah tidak ada tempat lain hendak dituju, Sim berasakan tindakan itu tidak betul. Justeru, bermulalah kisah beliau berulang-alik ke Thailand setiap kali menerima maklumat tentang mangsa pemerdagangan orang. 

 

AHAD (5 FEB): PERJALANAN KE MAE SOT

Bergantung pada laluan yang digunakan, Mae Sot terletak antara 490 kilometer (km) dan 533 km dari barat laut Bangkok atau enam hingga lapan jam pemanduan. Kami mengambil masa sembilan jam kerana berhenti beberapa kali sepanjang perjalanan untuk berehat dan juga makan.

Selain bingit sebuah konvoi motosikal dari Malaysia yang memotong kenderaan kami, perjalanan secara amnya adalah lancar. Menjelang 5 petang waktu tempatan, kami mula melepasi pusat pemeriksaan tentera, bermakna kami semakin hampir dengan destinasi yang dituju.

Pentingnya Mae Sot adalah kerana ia terletak berhampiran sempadan Thailand-Myanmar, hanya dipisahkan oleh Sungai Moei. Ia juga bertentangan dengan KK Garden iaitu sebuah petempatan mandiri yang luas di Myawaddy yang dilaporkan menjadi perumah kepada beberapa sindiket jenayah, dan di mana mangsa pemerdagangan manusia dari Malaysia dan negara lain ditahan.

Mangsa yang berjaya meloloskan diri mendakwa mereka dipaksa bekerja sebagai penipu dalam talian selama 12 jam setiap hari. Jika gagal mencapai sasaran, mereka akan dipaksa bekerja lebih lama, ditampar dan dibelasah, termasuk satu kes yang berakhir dengan tragedi.

pic-3

Pada September,  Sim dan Wong membantu satu pasangan dari Ipoh mencari anak lelaki mereka yang berusia 23 tahun, seorang guru pelatih yang terpedaya dengan sindiket asmara dan diseludup masuk ke Myanmar pada Februari tahun lepas. Anak muda itu dipaksa bekerja sebagai penipu di KK Garden. Malangnya, yang ditemukan mereka hanyalah kubur pemuda berkenaan.

Selepas tiba di Mae Sot, kami berhenti di Mahawan berhampiran Sungai Moei, di mana buaya dikatakan menjadi “pengawal semula jadi” yang menghalang sesiapa sahaja melarikan diri dari Myanmar ke Thailand. Di seberang sungai, saya dapat melihat tembok yang memagari KK Garden, bersinar dengan warna merah jambu dipancar matahari senja. Ketika melihat ke arah sungai, saya tidak nampak kelibat buaya namun saya dapat melihat beberapa orang sedang menyeberangi sungai menuju ke kampung, tempat kami berada.

Seorang penduduk yang belakang tubuhnya penuh dengan tatu, selain tidak bergigi, mengajak kami berborak dalam bahasa Thai. Menurut lelaki itu, dia tidak pernah nampak ramai orang di petempatan tersebut namun pernah melihat anggota tubuh manusia dihanyutkan arus sungai.

Mengambil kira kawasan ini berjiran dengan Myanmar dan perang saudara yang sedang berlaku, kisah-kisah sedemikian tidaklah memeranjatkan.

Pada hari kami sampai di Thailand, kami makan malam bersama empat daripada lima mangsa yang diselamatkan.Yang memeranjatkan saya ialah kesemua mereka masih muda, dan hakikat betapa naifnya mereka ini.

pic-4

Nur Fitriani Abdullah dari Johor dan rakan senasibnya memohon satu pekerjaan yang diiklankan.  Menawarkan gaji US$1,100 (RM4,761), pekerjaan itu kononnya sebagai jurukemas di sebuah hotel di Singapura. Dia tidak mempunyai pasport semasa dia sepatutnya ke Singapura bersama-sama perekrut. Dia juga tidak membantah apabila diberitahu yang dia tidak akan ke Singapura sebaliknya ke Bangkok. 

“Kamu tidak rasa ada yang tidak kena ketika itu?” soal saya. Tidak, katanya.

“Bila dia dah tukar tempat tu, nak ke Thailand pula, rasa macam resah jugalah tapi cuma fikir positif dan ikut saja. Bila dah sampai ke Kelantan tu, nak naik sampan tu, rasa dah takut sangat,” ceritanya lagi.

Katanya dia dan teman lelakinya, Kamil Abd Hamid, 25, berasa terlalu takut untuk melarikan diri ketika itu. Ada empat individu yang menjaga mereka pada setiap fasa perjalanan. Pada tiga peringkat pertama, mereka dikawal oleh lelaki berpakaian preman tanpa senjata. Dua peringkat seterusnya, mereka dijaga oleh lelaki berseragam tentera. Ditanya bagaimana mereka melepasi pusat pemeriksaan tentera, kedua-dua anak muda itu hanya mengangkat bahu, tanda tidak tahu. 

Perkataan “rasuah” bagaikan di hujung lidah, namun hingga ke akhir pertemuan kami, ia langsung tidak disebut.

Mangsa kelima yang diselamatkan menyertai kami selepas makan malam itu berakhir. Lee Zhi Chong diselamatkan secara berasingan dan kisah bagaimana dia meloloskan diri dikongsikan kemudian.

 

ISNIN (6 FEB): CUBAAN MENYELAMAT DAN TEMU BUAL SETERUSNYA

Mangsa keenam sepatutnya meloloskan diri hari ini. Kami tidak pasti pukul berapa namun Wong berkata tentera Thailand akan berjumpa dengan mangsa  - lelaki berusia 33 tahun- sebaik sahaja dia melarikan diri dari petempatan dan menyeberang sungai. Kami agak teruja untuk bertemu dengannya. Malah pembantu Sim keluar membeli pakaian baharu untuk mangsa kerana menganggap lelaki itu akan melarikan diri sehelai sepinggang.

Malangnya, pasukan tentera melarang kami daripada menghampiri kawasan pertemuan di tepi sungai tersebut. Kami kemudian memutuskan untuk menelusuri laluan yang digunakan oleh penyeludup ketika membawa Fitri, Kamil, Adam Iskandar Tukiman, 20 serta Akmar Hamsan, 19 ke KK Garden.

Cerita mereka, sebelum menyeberang sungai dengan bot, mereka berjalan kaki meredah ladang jagung yang melindungi mereka daripada dilihat oleh sesiapapun. Lebih-lebih lagi pada waktu malam.  

pic-5

Jika masih ada yang mempertikaikannya, sempadan Thailand-Myanmar amat poros, iaitu mempunyai terlalu banyak ruang untuk dibolosi, justeru, hampir mustahil ia dapat dikawal sepenuhnya.

Ketika kami keluar, mangsa keenam menghantar pesanan video, memberitahu dia masih cuba untuk melarikan diri namun terdapat terlalu ramai pengawal. Video itu memaparkan beberapa individu sedang meronda berhampiran tembok petempatan, sekali gus menghalang laluannya untuk melarikan diri.

“Dia akan menunggu semasa pertukaran syif pengawal,” kata Wong.

Ketika senja tiba beberapa jam kemudian, kami rasa waktu itu adalah selamat untuk kami ke tempat pertemuan. Namun sebaik tiba, kami melihat pasukan tentera sedang bersiap-siap untuk beredar. Mangsa keenam tidak muncul. Wong dan Sim kemudian berbincang dengan pasukan tentera Thai, meminta mereka agar terus menunggu lelaki itu.

 Untuk makan malam kami ke gerai makan seorang warga Thai yang membantu menyelamatkan Muhd Farhan Azman dengan menyembunyikannya daripada sindiket selain memberinya makan. Farhan yang merupakan rakan kepada Adam dan Akmar, selamat pulang ke Malaysia pada 21 Dis lalu. 

 

SELASA (7 FEB): BERJUMPA PEGAWAI TENTERA

Sekalipun masih ada seorang lagi mangsa sedang menunggu untuk diselamatkan, kami tidak ada pilihan selain meninggalkan kawasan itu hari ini. Untuk pulang ke tanah air, kelima-lima mangsa yang telah diselamatkan perlu melepasi sistem mahkamah imigresen Thailand. Proses itu boleh mengambil masa berhari-hari dan Sim berharap dapat membawa mereka pulang menjelang Jumaat. Jika tidak, mereka berkemungkinan terbang pulang pada minggu berikutnya. 

Sebelum kembali semula ke Bangkok bersama-sama mangsa, kami singgah di kem tentera di Wilayah Tak untuk bertemu dengan Kolonel Narongchai Charoencha, timbalan pegawai memerintah Naresuan Force, iaitu pasukan pengawal sempadan. 

“Saya ke sana banyak kali (untuk menyelamatkan mangsa penyeludupan). Menjadi tugas saya untuk melindungi semua (orang) di sepanjang sempadan,” katanya dalam bahasa Inggeris yang tersekat-sekat, apabila Sim mengucapkan terima kasih atas bantuannya.

Beliau menambah, adalah lebih baik jika orang ramai dapat dihalang daripada diperdaya dan seterusnya diseludup kerana amat sukar untuk menyelamatkan mereka yang dikurung oleh sindiket.

pic-6

“Usaha membangkitkan kesedaran perlu diperhebat,” ujarnya dalam bahasa Thai.

Berakhirnya pertemuan itu bermakna matlamat kami secara amnya juga tercapai. Yang tinggal cuma soal pentadbiran dan dokumentasi seperti mendapatkan pasport untuk mangsa kerana selain Lee, kesemua mereka tidak mempunyai dokumen tersebut. 

Pada masa sama, saya terfikir sesuatu apabila teringat Sim memberitahu yang perjalanan kami adalah untuk menyelamatkan lima mangsa, bukan enam. Saya juga ingin tahu bagaimana Lee berjaya mendapatkan semula pasportnya.

Lee berusia 26 tahun namun kelihatan sangat muda. Rambutnya hitam pekat dengan wajah yang polos. Dia cenderung melihat ke atas apabila bercakap dengan orang dan apabila teruja, air liurnya meleleh keluar di tepi bibir. Dia juga seakan tidak boleh menjawab terus soalan yang ditanya. Sebaliknya, dia bercerita mengikut garis masa sebelum sampai pada jawapan yang dicari. 

Sepanjang enam jam perjalanan ke Bangkok, dia bercerita tentang tiga pekerjaan yang dilakukannya semasa di pusat penipuan itu - menjadi penipu asmara, penterjemah dan penipu hartanah. Katanya dia juga tidak berjaya menipu walaupun seorang. Apabila ditanya sama ada dia dihukum kerana gagal memperdaya orang lain, katanya dia dipaksa melakukan tekan tubi dan lain-lain bentuk hukuman. 

Selepas berulang kali ditanya tentang bagaimana dia berjaya melarikan diri, Lee berkata penyelianya memanggil dia pada tengah hari berkenaan sebelum memberitahunya agar pergi mengambil beg pakaiannya, mengembalikan pasportnya dan menyuruh dia pergi. Cerita yang sama dikongsikan oleh empat lagi, kecuali Adam dan Akmar yang tidak diberikan semula pasport masing-masing.

Saya bertanya pada Sim tentang Lee. Adakah dia juga termasuk dalam senarai diselamatkan ataupun “bonus”?

“Dia adalah bonus,” kata Sim.

Alangkah bagusnya jika semua usaha menyelamat semudah itu.

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan