EKONOMI

Farm Fresh peroleh 53 peratus kepentingan dalam Inside Scoop

15/02/2023 09:49 PM

KUALA LUMPUR, 15 Feb (Bernama) -- Farm Fresh Bhd (FFB) telah memeterai perjanjian pembelian saham dengan vendor The Inside Scoop Sdn Bhd (TISSB) untuk cadangan pengambilalihan 462,739 saham biasa tersedia dalam TISSB. 

FFB dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata pengambilalihan itu mewakili 53.0 peratus daripada saham terbitan diperbesarkan dalam TISSB yang membabitkan pertimbangan pembelian keseluruhan  lebih kurang RM68.4 juta, tertakluk kepada pelarasan. 

FFB juga telah memeterai perjanjian langganan saham (SSA) dengan TISSB bagi cadangan langganan 104,771 saham baharu TISSB, mewakili 12 peratus daripada saham terbitan diperbesarkan dalam TISSB dengan jumlah pertimbangan langganan sebanyak RM15.5 juta berdasarkan terma dan syarat perjanjian.

Selepas cadangan itu dimuktamadkan, TISSB akan menjadi anak syarikat 65 peratus milik FFB manakala baki 35 kepentingan ekuiti dalam TISSB akan dipegang oleh Edmund Tan, salah satu vendor. 

"Selepas selesai cadangan, FFB dan Tan akan akan memeterai perjanjian pemegang saham untuk mengawal selia hubungan kedua-dua pihak sebagai pemegang saham TISSB. 

"Menurut perjanjian pemegang saham, FFB akan memberikan Tan hak bagi meminta FFB membeli daripadanya, apabila berlaku mana-mana peristiwa pencetus pada bila-bila masa semasa tempoh opsyen dibuat, baki saham TISSB yang dipegang oleh Tan," katanya.

Cadangan itu akan membuka jalan bagi kemasukan serta pemilikan kumpulan dalam salah satu syarikat aiskrim istimewa yang paling pesat berkembang dan rangkaian aiskrim buatan sendiri yang terbesar di Malaysia.

Sementara itu, dalam makluman berasingan, FFB  telah mengumpul jumlah hasil kasar kira-kira RM300.1 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) yang dilancarkan pada 28 Feb 2022. 

Hasil kasar tersebut akan digunakan untuk perbelanjaan modal, modal kerja dan anggaran perbelanjaan penyenaraian. 

"FFB berhasrat bagi memanfaatkan kecekapan serta pengalaman pengasas TISSB yang akan menerajui bahagian aiskrim FFB dalam penerokaan kami ke pasaran aiskrim yang menguntungkan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan