POLITIK

Muhyiddin sahkan dipanggil SPRM berhubung Jana Wibawa

18/02/2023 03:33 PM

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata beliau telah dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan mengenai projek Jana Wibawa. 

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata ia berkaitan penganugerahan kepada kontraktor terpilih di bawah projek berkenaan, yang didakwa oleh pihak tertentu berkemungkinan terdapat unsur tatacara perolehan yang tidak mengikut peraturan. 

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata SPRM memaklumkan beliau dipanggil bagi memberikan keterangan, dan bukan sebagai suspek yang dikaitkan untuk sebarang tindakan pendakwaan. 

"Jana Wibawa adalah projek yang diusahakan pihak Kementerian Kewangan (MOF) yang dicadangkan Menteri Kewangan ketika itu Datuk Seri Tengku Zafrul, untuk membantu kontraktor Bumiputera semasa COVID-19, yang kalau tidak dibantu sebahagian besar akan gulung tikar.

“Cadangan itu dibawa ke Kabinet dan luluskan. Kita laksanakan dengan meminta Persatuan Pemborong Bumiputera untuk mengemukakan nama-nama kontraktor berwibawa yang diluluskan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Blood Donation Drive Yayasan Tan Sri Muhyiddin Charity Golf di sini, hari ini. 

Katanya peraturan itu ditetapkan oleh Menteri Kewangan yang mempunyai kuasa penentu untuk memilih, atau kementerian yang terlibat dengan projek-projek tadi untuk memberi pertimbangan, menilai sama ada yang mohon itu layak atau tidak

Sehubungan itu Muhyiddin menegaskan bahawa beliau tidak terlibat dalam proses mempertimbangkan atau meluluskan projek berkenaan kerana ia tertakluk di bawah MOF.

"Jadi apa terlibat dengan saya? Tiada, cuma menyalurkan sahaja. Adakah saya memutuskan? Tidak sama sekali. Saya jelaskan juga, ada yang ditanya kenal ke tidak kontraktor? Saya tak kenal, tak pernah berjumpa pun dengan mereka, nama-nama syarikat pun saya tak tahu," katanya. 

Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata projek Jana Wibawa ditangguh pelaksanaannya bagi meneliti semula sama ada tata cara perolehannya dibuat mengikut peraturan ditetapkan perbendaharaan. 

Menurut Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, penangguhan projek melibatkan nilai RM5.7 bilion itu dibuat kerana terdapat unsur kaedah perolehan dibuat secara tender terpilih atau runding terus.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan