DUNIA

Penyakit berjangkit mungkin berlaku di kawasan gempa bumi di Turkiye dan Syria - ECDC

21/02/2023 04:08 PM

STOCKHOLM, 21 Feb (Bernama) -- Tempoh dua hingga empat minggu akan datang mungkin menyaksikan kemunculan dan penularan penyakit berjangkit di kawasan yang dilanda gempa bumi di Turkiye dan Syria, menurut Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) pada Isnin.

"Penyakit bawaan makanan dan air, jangkitan pernafasan dan jangkitan yang boleh dicegah dengan vaksin merupakan antara risiko yang berpotensi menyebabkan wabak terutama apabila mangsa yang terselamat berpindah ke tempat perlindungan sementara," menurut ECDC dalam satu kenyataan, lapor Xinhua.

Infrastruktur utiliti yang rosak termasuk air dan elektrik menyebabkan akses terhad kepada air bersih, kemudahan sanitasi dan kebersihan, sistem penyejukan dan cara penyediaakan makanan yang tidak sempurna juga boleh meningkatkan penularan penyakit bawaan makanan dan air.

ECDC menjangkakan kemungkinan akan berlaku lonjakan kes taun di kawasan terjejas dalam tempoh beberapa minggu akan datang, selain hepatitis A, norovirus dan rotavirus.

Jangkitan pernafasan seperti COVID-19, selesema bermusim dan virus pernafasan lain juga membimbangkan, khususnya dalam kalangan golongan muda dan warga emas yang lebih mudah terdedah kepada komplikasi.

"Keadaan sesak di penempatan sementara boleh meningkatkan risiko penularan penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin, seperti campak, varicella, meningitis atau poliomielitis. 

"Para penyelamat pula berhadapan risiko mendapat tetanus akibat kecederaan dan luka terbuka akibat serpihan runtuhan," menurut ECDC.

Penyediaan air bersih dan kawalan ke atas pengendalian makanan adalah antara langkah utama untuk mengelak penularan penyakit selain kesinambungan vaksinasi rutin yang perlu dipastikan serta menangani jurang vaksinasi.

"Oleh itu, penyediaan sistem pengawasan kesihatan oleh petugas kesihatan awam akan memudahkan amaran awal dan pengesanan wabak. 

"Organisasi antarabangsa merancang menempatkan makmal bergerak di kawasan yang terjejas, dan mereka juga boleh memberikan bantuan pakar kepada kedua-dua negara yang terjejas," menurut agensi itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan