EKONOMI

Industri elektrik dan elektronik Malaysia dijangka saksi pertumbuhan perlahan pada 2023 - MSIA

21/02/2023 06:11 PM

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Industri elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia dijangka menyaksikan pertumbuhan lebih perlahan pada 2023 berbanding tahun lepas di tengah-tengah keadaan global yang tidak menentu, kata Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA).

Presiden MSIA Datuk Seri Wong Siew Hai berkata sektor E&E Malaysia telah berkembang 18 peratus pada 2021 dan 30 peratus pada 2022.

"Kami terus berkembang, tetapi ia bukan mudah … disebabkan kerana masalah yang dihadapi, termasuk kemelesetan dan ketegangan yang belum selesai antara AS dan China.

“Jadi, kami menjangkakan kelembapan terutamanya dalam pembetulan produk pengguna,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Tinjauan E&E MSIA 2022 oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Liew Chin Tong.

Dalam satu kenyataan hari ini, Wong berkata di peringkat global, pendapatan industri semikonduktor diunjur meningkat kepada US$1 trilion pada 2030 berbanding lebih US$500 juta tahun lepas, justeru, ia perlu merebut peluang itu memandangkan Malaysia telah menjadi hab bagi industri E&E.

Menurut tinjauan MSIA, unjuran untuk 2023 kekal lemah, dengan 50 peratus daripada syarikat E&E yang dikaji menjangkakan penurunan dalam tempahan/pesanan, manakala 25 peratus daripada mereka masih menjangkakan peningkatan dalam tempahan/pesanan kerana beberapa kategori produk akan menyaksikan pertumbuhan berterusan, manakala kategori lain akan mengalami kemerosotan.

Sementara itu, 65 peratus daripada syarikat E&E yang dikaji masih meneruskan lagi dengan perbelanjaan modal dan pelaburan yang dirancang.

“Ini penting kerana Malaysia telah pun menarik pelaburan E&E sebanyak RM186.2 bilion sejak Januari 2020 (2020 – RM15.6 bilion, 2021 – RM148.0 bilion dan dari Januari hingga September 2022 - RM22.6 bilion).

"Ini mencerminkan prospek jangka panjang industri dan keyakinan perniagaan terhadap Malaysia sebagai lokasi untuk semikonduktor dan elektronik," kata Wong.

Presiden MSIA itu menambah untuk Malaysia berdaya saing di peringkat global, Malaysia perlu memberi tumpuan kepada usaha mendapatkan bakat melalui kerjasama kerajaan-industri serta  kerjasama industri-akademik yang lebih erat.

Sementara itu, dalam ucapannya semasa pelancaran tinjauan MSIA, Liew berkata Malaysia mesti melihat industri semikonduktor sebagai industri strategik dengan berlatar belakang global seperti ketegangan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan yang meningkat.

Beliau berkata bersama beberapa negara lain, Malaysia adalah penting kepada rantaian bekalan global semikonduktor.

“Di bawah konteks inilah kerajaan, MSIA dan pemain industri mesti memikirkan semula peranan strategik industri semikonduktor Malaysia. Sektor E&E kekal sebagai asas kepada sektor pembuatan di negara kita, menyumbang dengan ketara kepada eksport dan pelaburan yang diluluskan.

“Bagaimanapun, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berhasrat agar industri ini menjadi lebih luas dari segi kedalaman dan keluasan liputan rantaian bekalan dengan menggalakkan produk nilai tambah yang jauh lebih tinggi dan proses pembuatan yang kompleks dari segi teknologi dalam industri,” katanya.

Beliau berkata Aspirasi Pelaburan Nasional menekankan keperluan untuk kerumitan ekonomi, integrasi rantaian bekalan tempatan dengan rantaian bekalan serantau dan global serta penciptaan kelompok ekonomi baharu.

Selaras dengan ini, Liew berkata sektor E&E perlu meningkatkan rantaian nilai dan menghasilkan lebih banyak produk inovatif dan bernilai tinggi yang membolehkan Malaysia bersaing di peringkat global dengan meneroka model perniagaan baharu, teknologi dan kaedah pengeluaran yang akan meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos dan meningkatkan kualiti.

Beliau juga berkata industri perlu beralih ke arah menyediakan pekerjaan berpendapatan tinggi untuk rakyat tempatan dan mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing.

“Ini boleh dicapai dengan meningkatkan kemahiran dan pengetahuan tenaga kerja tempatan, mewujudkan lebih banyak pekerjaan bernilai tinggi yang menggunakan teknologi canggih, dan menambah baik keadaan kerja dan faedah yang ditawarkan kepada pekerja,” tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan