EKONOMI

Belanjawan 2023 menguntungkan pembeli rumah pertama, perumahan mampu milik

01/03/2023 02:43 PM

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Tumpuan Belanjawan 2023 terhadap pemilikan rumah akan menguntungkan pembeli rumah kali pertama dan menyokong pembangunan perumahan mampu milik, kata Juwai IQI. 

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kashif Ansari dalam satu kenyataan berkata belanjawan yang disemak semula itu merangkumi gabungan beberapa inisiatif, melibatkan lebih daripada RM2.2 bilion sebagai belanja bagi meningkatkan kualiti stok perumahan sedia ada, sama ada melalui pengubahsuaian atau pembinaan baharu. 

"Kami menyokong rancangan kerajaan untuk meningkatkan stok perumahan," kata Khasif, sambil menambah bahawa langkah-langkah itu akan menghasilkan pembinaan melangkaui 35,000 rumah baharu kepada rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah dan 7,000 lagi kediaman untuk angkatan tentera. 

Inisiatif-inisiatif itu merangkumi usaha membaik pulih rumah di kawasan luar bandar, pemasangan lif di perumahan strata kos rendah, pembinaan serta membaik pulih rumah anggota angkatan tentera. 

Terdapat juga dana baharu bagi Program Perumahan Rakyat (PPR), Program Rumah Mesra Rakyat dan Projek Perumahan Awam Malaysia. 

Khasif juga berkata pengecualian duti setem turut menghapuskan salah satu kesukaran dalam pemilikan rumah.

"Pengecualian duti setem ini penting kerana cukai tersebut mengurangkan kuasa beli pembeli dan tidak menggalakkan orang ramai daripada menurun atau menaik taraf," katanya.   

Kerajaan telah memutuskan bahawa ekonomi akan mendapat lebih banyak manfaat daripada lanjutan pengecualian duti setem penuh untuk rumah mencecah paras RM500,000 sehingga akhir 2025. 

Sementara itu, kadar pengecualian duti setem akan dinaikkan separuh kepada 75 peratus bagi rumah bernilai sehingga RM1 juta.

Beliau ketika mengulas mengenai jaminan kredit perumahan untuk pekerja gig berkata peruntukan bagi membantu mereka mendapatkan gadai janji telah dinaikkan kepada 20,000 peminjam dan RM5 bilion.

Ini penting memandangkan tanpa bantuan tersebut, ianya akan menghalang pemilikan rumah, yang merupakan "strategi paling selamat serta terbukti dalam membina kekayaan dan keselamatan". Jumlah pekerja gig yang terasing daripada pasaran perumahan akan meningkat, katanya. 

"Terdapat lebih daripada empat juta pekerja gig di Malaysia, yang mana, individu ini biasanya tidak mempunyai pendapatan tetap. Ini menyukarkan mereka untuk mendapatkan gadai janji tradisional daripada bank untuk membeli rumah," kata Khasif. 

Oleh itu, langkah-langkah belanjawan ke atas  perumahan akan memberi kestabilan kepada pasaran tetapi tidak mengubah trend sedia ada dengan ketara.   

Beliau juga berkata harga dan stok yang tidak terjual akan bertambah baik sepanjang tahun ini. Unjuran 2023 tidak berubah dengan aktiviti peralihan dalam pasaran kediaman mengukuh dengan kenaikan tiga peratus tahun ini. 

"Pemaju dengan projek baharu yang menarik akan berjaya membuat pelancaran apabila pembeli tempatan dan asing mula kembali ke bilik pameran," katanya. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan