JOHOR BAHRU, 9 Mac (Bernama) -- Balai Polis Chaah di Segamat serta Balai Polis Panchor dan Pondok Polis Lenga di Muar yang terjejas banjir ditutup sementara kerana mengalami pelbagai kerosakan dan masih ditenggelami air.
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata walaupun dua balai dan satu pondok polis itu belum dapat beroperasi, kejadian itu tidak mengganggu tugasan harian berikutan kesemua pegawai dan anggota di kawasan terlibat tidak terjejas dengan bencana itu.
Beliau berkata Balai Polis Chaah mengalami kerosakan termasuk infrastruktur, tandas dan perabot manakala Balai Polis Panchor dan Pondok Polis Lenga masih ditenggelami air banjir.
“Stor senjata api turut ditenggelami banjir. Bagaimanapun, anggaran kerugian belum diketahui dan pihak logistik akan turun ke lokasi untuk membuat penilaian. Kita harap perkara ini akan dapat segera diselesaikan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Bantuan Pasca Banjir Polis Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Kamarul Zaman berkata tiada laporan berhubung kes pecah rumah melibatkan rumah mangsa diterima setakat ini, sepanjang sembilan hari banjir melanda negeri itu berikutan kesemua agensi penyelamat sentiasa melakukan rondaan di kawasan terjejas.
Sementara itu, beliau berkata seramai 150 pegawai dan anggota polis Johor akan membantu melakukan pembersihan di perumahan polis dan penduduk terjejas di daerah Kluang hari ini, sebelum menghulurkan bantuan ke daerah lain.
Beliau pada masa sama menasihati pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan mengutamakan keselamatan, susulan terdapat 41 jalan yang masih ditutup antaranya di Segamat, Muar, Batu Pahat dan Kota Tinggi.
"Jangan gadai nyawa, tangguh dahulu perjalanan atau gunakan kenderaan yang lebih berat," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial