AM

WCO Art & Culture Gallery pamer budaya tempatan melalui miniatur dan diorama

19/03/2023 09:19 AM

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Suasana zaman kegemilangan Melaka pada kurun ke-15 dalam bentuk miniatur antara yang menarik dapat disaksikan di World Culture Organisation (WCO) Art & Culture Gallery, yang terletak di Cheras, Batu 9, Hulu Langat, Selangor.

Diorama sebesar 10 meter x 1.8 meter yang dipenuhi hampir 1,000 figura kecil bersaiz sebesar enam sentimeter (cm) itu, menggambarkan kepesatan perdagangan di negeri itu dengan kehadiran ramai pedagang asing dari China, India, Siam, Jawa dan Eropah selain menggambarkan kehidupan masyarakat pada zaman itu.

Pengasas WCO Art & Culture Gallery Foo Loke Kee, 48, berkata diorama itu adalah antara ribuan koleksi peribadinya yang kini dipamerkan di galeri tiga tingkat yang turut mempamerkan pelbagai diorama dan miniatur berkonsep warisan, sejarah dan budaya pelbagai kaum.

Menurutnya, karya seni diperbuat daripada tepung gandum dan tanah liat itu dihasilkan menggunakan kemahiran seni tangan sepenuhnya melibatkan lebih tujuh artis yang bernaung di bawah galeri itu antaranya Helen Chua dan Mohd Zain Abd Aziz. 

Meminati seni pembuatan miniatur dan diorama sejak kecil, Foo berkata penglibatan secara serius dalam bidang itu tercetus selepas menghadiri pameran hasil patung miniatur di Yanjiao, China pada 2010.

“Minat saya tidak pernah terpadam selepas itu saya nekad untuk membuka kilang khusus pembuatan hasil seni ini di Yanjiao, Hebei pada 2011," katanya kepada Bernama.

Bercerita lanjut, Foo berkata beliau kemudian mengambil keputusan untuk pulang ke tanah air pada 2015 dan menghasilkan model miniatur dan diorama bercirikan Malaysia dengan menggabungkan replika rumah tradisional dan binaan istana serta koleksi wau. 

“Sepanjang lima tahun di luar negara, saya kerap ditanya mengenai budaya orang Malaysia. Mereka juga mahu belajar dan mengenali persamaan serta perbezaan seni dan budaya kita,” ujar anak kelahiran Ipoh, Perak itu. 

Selain itu, katanya, galeri berkenaan turut dipenuhi dengan set diorama kehidupan harian rakyat China semasa zaman kegemilangan Dinasti Song kira-kira pada 1200, yang dibawa dari kilangnya di China.

Beliau berkata galeri itu turut menawarkan pelbagai kursus bagi melatih individu tempatan yang berbakat untuk dijadikan artisan di galeri yang juga menghasilkan produk diorama dan miniatur melalui gabungan teknologi hologram seiring dengan transformasi digital. 

Galeri itu juga mendapat pengiktirafan daripada beberapa pihak antaranya Malaysia Good Design Award bagi kategori set hadiah dan cenderamata kebudayaan pada 2018 dan The Malaysia Book of Records sebagai Pusat Diorama Buatan Tangan Silang Budaya Pertama melalui Koleksi Diorama Malaysia dan China pada 2021.

Dalam pada itu, Foo berkata visual dan informasi berkenaan miniatur dan diorama dipamerkan di galeri itu juga kini diterbitkan menerusi buku bertajuk "Malaysia: Menelusuri Keindahan Sejarah Negara", yang dirasmikan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim, baru-baru ini.

Rais dalam ucapannya menzahirkan rasa kagum dengan semangat Foo, yang sanggup mengorbankan masa, tenaga dan wang sendiri demi menubuhkan sebuah galeri yang sarat dengan maklumat sejarah pelbagai kaum di Tanah Melayu sejak zaman sebelum Merdeka.

“Mencari sesuatu ‘obor’ dalam budaya amat sukar disebabkan pelbagai rintangan yang wujud dalam kehidupan kita. Oleh sebab itu, apa-apa yang diusahakan Foo dapat dijadikan sebagai obor baharu dan batu loncatan agihan peranan kepada masyarakat kita,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan