KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menyokong sebarang usaha yang dilakukan oleh pemain industri perfileman untuk membawa masuk kelengkapan peralatan studio produksi maya ke Malaysia yang disifatkan mampu menjadi pencetus perubahan kepada industri itu.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata ia bertepatan dengan peruntukan Belanjawan 2023 sebanyak RM102 juta, yang antara lain merangkumi Pengecualian Duti Import serta Cukai Jualan ke atas Peralatan Studio dan Produksi Penggambaran.
“… dalam konteks industri perfileman, apabila kita membawa masuk penggambaran filem dari luar ke Malaysia, kesan positif bukan sahaja dari segi pelaburan tetapi juga dari segi kemahiran dan pengalaman.
“Saya percaya dengan peralatan baharu digandingkan dengan pengalaman kita terlibat dalam filem yang lebih besar, ia akan membantu industri filem dari segi teknikal di Malaysia. Jadi saya lihat ini satu perkembangan yang positif dan semestinya pihak kementerian kami menyokong,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Seniman Kebangsaan 2023 di sini malam ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Ni Ching, Ketua Setiausaha KKD Datuk Seri Mohammad Mentek, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Kamil Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Profesor Dr Md Nasir Ibrahim.
Terdahulu, Fahmi dalam ucapan perasmian berkata beliau menaruh keyakinan bahawa industri kreatif amnya dan industri filem khususnya akan terus berkembang sebagai jentera ekonomi kreatif seperti negara luar termasuk Korea Selatan, China, Jepun serta Amerika Syarikat.
Beliau berkata menerusi sektor itu, kerajaan melalui KKD serta FINAS dapat terus meningkatkan pelaburan asing ke dalam negara melalui Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) dan perjanjian kerjasama produksi antarabangsa dengan negara seperti China, Korea dan Indonesia.
Pada masa sama, beliau mengingatkan penggiat industri kreatif untuk terus mengamalkan sikap keterbukaan dalam memberi serta menerima pandangan agar semak dan imbang dapat dilaksanakan.
“Salah tafsiran atau yang menyentuh sensitiviti sesuatu karya seni mesti dielakkan dalam keghairahan mengkomersialkannya.
“Kesefahaman ini penting untuk memastikan usaha dan kesepaduan bersama dapat dicapai dengan saling bertukar pandangan dan sokongan agar seni dan budaya rakyat Malaysia yang berbilang bangsa ini sentiasa terpelihara dan diperkembang ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Hari Seniman Kebangsaan 2023 yang bertema ‘Filem Wadah Perpaduan, Titian Keharmonian’ merupakan simbolik penghargaan kepada penggiat seni dan budaya yang banyak menyumbang serta mengharumkan nama Malaysia.
Ia disambut pada 22 Mac setiap tahun dan dipilih bersempena tarikh kelahiran Tokoh Seniman Agung Negara Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sebagai mengenang kembali selain menghargai jasa dan bakti beliau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial