KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan pertimbangkan permohonan kemasukan anak Allahyarham ASP Zulkifli Mamat, pegawai polis yang menjadi korban dalam kejadian peristiwa berdarah Lahad Datu di Sabah, 10 tahun lalu untuk melanjutkan pelajaran ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).
Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata MARA amat berbangga apabila anak sulung sulung Zulkifli iaitu Noorakmal Amiruddin, 15, memilih MRSM sebagai institusi untuk beliau menyambung pelajarannya.
Bagaimanapun, katanya MARA tidak akan berkompromi mengenai soal kualiti dalam kemasukan ke MRSM.
"Seperti pelajar lain, Noorakmal jugat perlu menduduki Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM bagi memenuhi kriteria minimum yang ditetapkan.
“Beliau juga perlu membuat permohonan kemasukan ke MRSM yang akan dibuka September ini dan kami akan memberi perhatian serius terhadap permohonan itu,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat MARA, di sini, hari ini.
Turut hadir balu Zulkifli iaitu Noor Aziah Noor, 38, dan tiga anaknya Noorakmal, Noor Muhammad Aqil, 11, dan Noor Aqib Syahid, 10,
Pada majlis itu Asyraf Wajdi turut menyampaikan sumbangan wang tunai dan beg sekolah kepada ketiga-tiga anak Allahyarham Zulkifli.
Asyrad Wajdi berkata dua lagi adik Noorakmal juga akan diberikan perhatian untuk melanjutkan pelajaran ke MRSM apabila tiba masa mereka dengan mengikut prosedur yang sama seperti abang mereka.
Beliau berkata selain Noor Aziah, bantuan sama akan diberikan kepada balu lain yang mempunyai anak apabila tiba masa mereka nanti.
Sementara itu, Noor Aziah bersyukur dan berharap anak-anaknya akan menggunakan peluang yang diberikan MARA itu dengan sebaiknya.
“Sekurang-kurangya dengan bantuan daripada MARA ini, saya berharap anak-anak dapat melihat pengorbanan yang dilakukan oleh bapa mereka tidak sia-sia serta mendapat penghargaan dan pengiktirafan daripada masyarakat,” katanya.
Sebelum ini, MARA pernah menjanjikan bantuan pendidikan dari peringkat sekolah rendah hingga ke pengajian tinggi kepada anak-anak perwira negara yang terkorban dalam insiden berdarah di Lahad Datu apabila tiba masanya berikutan kejadian berlaku 10 tahun lalu dan anak-anak terbabit masih kecil.
Pada Feb 2013, Malaysia dikejutkan dengan pencerobohan pengganas bersenjata Sulu yang memasuki perairan negara secara berperingkat di Felda Sahabat, Lahad Datu, yang membawa kepada pertempuran pada 1 Mac di Kampung Tanduo mengakibatkan 10 perwira negara terbunuh dan 68 pengganas Sulu maut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial