EKONOMI

Penyelesaian pengurangan pelepasan turbin gas memenangi hadiah utama Race2Decarbonise hackathon

24/03/2023 06:10 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Penyelesaian yang akan mengurangkan penggunaan tenaga turbin gas dan mencegah kebocoran gas suar (gas flare), membolehkan pelepasan metana dikurangkan muncul sebagai pemenang hadiah utama hackathon Race2Decarbonise anjuran Petroliam Nasional Bhd (Petronas).

Petronas dalam satu kenyataan hari ini berkata idea penyelesaian yang memenang hackathon yang pertama kali diadakan digunakan di kemudahan Petronas dalam tempoh dua tahun akan datang bagi menyokong Pelepasan Karbon Sifar Bersih syarikat itu menjelang 2050 iaitu sasaran jangka panjang untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) daripada operasinya di Malaysia kepada 49.5 tan metrik karbon dioksida setara (MtCO₂e) menjelang tahun 2024.

Hackathon Race2Decarbonise adalah platform global untuk penyelesaian penyahkarbonan yang bersumberkan orang ramai bagi mempercepatkan matlamat ‘Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050’, dengan memanfaatkan kerjasama awam-swasta dan perkongsian merentas industri.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Tengku Muhammad Taufik berkata Race2Decarbonise menyasarkan untuk memenuhi sasaran pengurangan pelepasan GHG jangka pendek Petronas dan membuktikan komitmennya untuk mewujudkan usaha penyahkarbonan yang tahan lama, berkesan dan mampan.

"Ini adalah perjuangan untuk menangani pelepasan karbon kerana kami percaya bahawa kami perlu menyampaikan tenaga dengan lebih bertanggungjawab dan dengan cara yang berbeza," katanya.

Daripada 500 penyertaan dari 25 negara, 29 peserta adalah dari Malaysia, Kanada, Denmark, Finland, Jerman, Switzerland, United Kingdom dan Amerika Syarikat telah disenarai pendek untuk melontarkan idea mereka di Pusat Kepimpinan Petronas dari 13 hingga 16 Mac.

Sementara itu, Petronas berkata setiap penyerataan telah menjalani penilaian ketat untuk kesahihan, kebolehlaksanaan dan impak terhadap pengurangan karbon dan dinilai oleh panel hakim daripada PTV International Ventures Americas, Accenture, McKinsey, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Petronas.

Syarikat itu berkata pemenang hadiah utama Track A (Penyelesaian Terbukti) dan Track B (Idea Novel) yang bermaksud idea baharu dan luar biasa, masing-masing memenangi US$100,000 dan US$150,000 untuk idea luar kotak mereka.

Ia berkata penyelesaian pemenang Track A (mengikut turutan hadiah utama, naib juara pertama dan kedua) ialah Sistem Penyimpanan Tenaga Turbin Gas-Bateri Honeywell oleh pasukan yang terdiri daripada jurutera Honeywell dan Petronas, Kitaran Rankine Organik oleh pasukan Orcan-Petronas dan Penjana Turbin Skru Berkembar oleh pasukan daripada Heliex Power Ltd.

“Semua penyelesaian telah dikemukakan dalam kapasiti individu mereka.

“Bagi penyelesaian yang memenangi rak B pula ialah Generasi Baharu Injap Blow Down oleh pasukan dari Petronas, Elektrolisis Gas Metana/Suar (Plasmalisis) oleh Graforce GmbH, dan Penyahkarbonan Loji Ammonia Syngas melalui Pengeluaran Urea oleh pasukan dari Petronas,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan