AM

MALAYSIA TERBUKA ADAKAN PERBINCANGAN SEMULA PEMBINAAN PUSAT KEAMANAN ANTARABANGSA RAJA SALMAN

25/03/2023 02:52 PM

Daripada Nik Nurfaqih Nik Wil

JEDDAH, 25 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia terbuka untuk mengadakan perbincangan semula berhubung pembinaan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) yang sebelum ini dihentikan.

Menurutnya, beliau sendiri tidak bersetuju dengan kaedah penutupan operasi pusat berkenaan sebelum ini yang dibuat tanpa rundingan dengan kerajaan Arab Saudi.

“Mana-mana kerajaan berhak atau boleh mencadangkan penutupan, tetapi dengan sahabat (Arab Saudi) harus ada rundingan, harus ada notis, harus ada perbincangan. Ini nampaknya tidak dijalankan. 

“Jadi saya tidak boleh pertahankan cara gopoh penutupan inisiatif tanpa berunding dengan pihak terlibat,” katanya dalam sidang media di akhir lawatan rasmi tiga hari beliau ke Arab Saudi, di sini, pada Jumaat. 

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan di bawah pentadbirannya bercadang menghidupkan kembali cadangan pembinaan premis kekal pusat itu di Putrajaya.

KSCIP diilhamkan selepas kunjungan Raja Arab Saudi Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud ke Malaysia pada Mac 2017 serta penyertaan Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Najib Razak dalam sidang kemuncak di Riyadh yang dihadiri Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Anwar berkata beliau secara peribadi telah menzahirkan kepada pemimpin Arab Saudi dan wakil mereka sebelum ini bahawa beliau tidak mendukung tindakan sedemikian.

“Apakah perlu mereka kemukakan semula. Kita terbuka untuk berbincang. Menetapkan peraturan dan kaedah yang wajar,” katanya.

Anwar dan delegasi mengakhiri lawatan rasmi tiga hari ke Arab Saudi dan berlepas ke Kuala Lumpur daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammed bin Abdulaziz pada 12.30 pagi Sabtu waktu tempatan.

Beliau dijadual mengadakan lawatan rasmi ke Kemboja 27 Mac ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan