EKONOMI

Ethiopian Airlines sambung semula laluan Addis Ababa-KL

26/03/2023 09:02 PM

SEPANG, 26 Mac (Bernama) -- Ethiopian Airlines (ET) menyambung semula penerbangannya untuk laluan Kuala Lumpur-Addis Ababa bermula hari ini dengan menyediakan empat penerbangan seminggu selepas menghentikan operasinya pada 2021 akibat pandemik COVID-19.

Pengarah Urusan Ethiopian International Services (EIS), Mesfin Biru berkata ET teruja untuk menyambung semula penerbangannya ke Kuala Lumpur selepas menggantungkannya selama dua tahun.

EIS ialah salah satu daripada tujuh pusat perniagaan untuk Ethiopian Airlines.

Beliau berkata ET memulakan penerbangan antara Addis Ababa dan Kuala Lumpur dengan menyediakan perkhidmatan tiga kali seminggu pada tahun 2012, bagaimanapun penerbangan itu digantung pada 2021 berikutan sekatan perjalanan akibat pandemik.

“Penyambungan semula penerbangan itu membuka semula pilihan perjalanan yang mudah dan lancar antara Kuala Lumpur dan lebih 60 destinasi di Afrika. Kuala Lumpur adalah destinasi pilihan untuk pengembara perniagaan dan percutian.

“Penerbangan ini juga merupakan salah satu saluran yang mengeratkan hubungan diplomatik dan sosioekonomi antara Malaysia dan Afrika, justeru penyambungan semula perkhidmatan ini memainkan peranan penting dalam hubungan antara kedua-dua negara,” katanya kepada pemberita pada majlis menyambut ketibaan penumpang sempena penyambungan semula penerbangan Ethiopian Airlines ke Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini hari ini.

Turut hadir Konsul Kehormat Ethiopia di Malaysia, Datuk Azmall Jamaluddin.

Pesawat B787 ET dari Addis Ababa yang membawa 190 penumpang itu disambut dengan tabik hormat meriam air ketika mendarat di Terminal 1 KLIA pada pukul 5 petang.

Mesfin berkata ET yakin dengan potensi yang semakin meningkat antara negara-negara di Afrika dan Malaysia daripada segi pelancongan, perdagangan, aktiviti ekonomi serta pertukaran sosial dan budaya.

“Malaysia telah menjadi sebuah ekonomi yang hebat dan Afrika mahu menjalinkan hubungan dengan Malaysia dalam aktiviti perdagangan, ekonomi, sosial dan pelancongan. Terdapat potensi yang semakin meningkat memandangkan kumpulan berpendapatan sederhana sedang berkembang pesat di Afrika,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan