NIBONG TEBAL, 5 April (Bernama) -- Polis menahan seorang penghantar makanan sebuah syarikat penyedia perkhidmatan p-hailing bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang lelaki membaling bungkusan makanan dan minuman ke arah dua pekerja wanita di sebuah restoran, di sini semalam.
Video berdurasi 1 minit 20 saat memaparkan kejadian itu turut tular menerusi media sosial.
Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan DSP Mohd Norazmi Abd Ghapar berkata pihaknya menjalankan siasatan kes itu selepas mengesan video berkenaan semalam menerusi satu akaun dipercayai milik restoran tersebut selain turut menerima laporan berhubung kejadian itu.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan iaitu menggunakan kekerasan jenayah.
"Menerusi video itu, didapati terdapat dua lelaki dipercayai penghantar makanan yang datang ke restoran tersebut dengan seorang daripadanya bertindak membaling bungkusan makanan dan minuman ke arah dua pekerja wanita yang terdapat di kaunter," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Norazmi berkata penghantar makanan berkenaan yang ditahan di daerah ini semalam, kini direman untuk siasatan lanjut.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian supaya menyalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan di talian hotline 04-5858 222 atau mana-mana balai polis berdekatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial