DUNIA

Malaysia Kutuk Pertempuran Di Sudan, Gesa Adakan Dialog

16/04/2023 05:42 PM

PUTRAJAYA, 16 April (Bernama) -- Malaysia mengutuk sekeras-keras pertempuran yang meletus antara Angkatan Tentera Sudan dan Rapid Support Forces (RSF) di Khartoum, ibu negara Sudan, yang telah mencetuskan pergolakan dan mengorbankan nyawa mereka yang tidak bersalah.  

Sempena bulan Ramadan yang penuh kemuliaan ini dan sejajar dengan nilai murni Islam, Malaysia menyeru kedua-dua pihak untuk segera menghentikan permusuhan dan bertenang, menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra) hari ini.

“Kedua-dua pihak harus menyelesaikan apa jua perbezaan secara aman dan menghindari sabarang tindakan yang boleh memburukkan lagi ketegangan.

“Dialog dan rundingan yang bermakna adalah satu-satunya kaedah untuk merintis laluan ke arah memulihkan keamanan dan kestabilan di Sudan,” menurut kenyataan itu.

Malaysia menggesa semua pihak mengutamakan keselamatan orang awam dan bekerjasama ke arah mewujudkan persekitaran yang aman dan stabil demi kemajuan dan kemakmuran rakyat Sudan.

Malaysia kekal bersolidariti dengan rakyat Sudan dan akan terus menyokong usaha ke arah penyelesaian yang berkekalan dan aman bagi konflik itu.

“Kami mendoakan kesejahteraan dan keselamatan rakyat Sudan dalam mengharungi detik yang mencabar ini,” tambah kenyataan itu.

Menurut laporan antarabangsa, sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh sejak pertempuran meletus pada Sabtu.

Jawatankuasa Doktor Sudan berkata 183 dilaporkan cedera di Khartoum dan di bandar-bandar lain.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan