AM

180 Peserta Terpilih Sertai Projek Rintis Ternakan Kebun Kerang Melaka, Tingkat Ekonomi Nelayan

09/05/2023 05:28 PM

MELAKA, 9 Mei (Bernama) -- Seramai 180 peserta terpilih untuk menyertai program rintis Kebun Kerang Melaka yang akan memulakan ternakan pada Jun ini, membabitkan kawasan seluas 21 hektar di sekitar perairan Serkam hingga Sebatu, bagi meningkatkan ekonomi nelayan.

Exco Kemajuan Desa Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata projek itu membabitkan 18 lot ternakan dengan kos berjumlah RM990,000 menerusi peruntukan kerajaan negeri bagi pembangunan termasuk pembelian benih dan menjalankan kajian sejak Jun 2022.

"Kajian dijalankan Jabatan Perikanan meliputi bathymetri, hidrogrofi dan proses pantai untuk menilai kesesuian tapak untuk aktiviti secara komuniti selain mendapati kawasan digazetkan sebagai Zon Industri Akuakultur (ZIA) yang bermula di kawasan Sungai Renggei hingga Sungai Kesang ini sesuai dengan ternakan kerang. 

"Projek ini juga dibahagikan dengan setiap lot melibatkan 10 peserta dan hasil pengeluaran daripada projek percubaan ini menghasilkan 7.18 metrik tan dengan nilai RM71,880 sehingga Mac lepas," katanya kepada pemberita di Bandar Melaka di sini hari ini.

Terdahulu beliau hadir menyempurnakan Kursus Pengurusan dan Penyampaian Watikah Peserta Kebun Kerang Melaka yang turut dihadiri Pengarah Kanan Bahagian Akuakultur Datuk Azahari Othman dan Pengarah Perikanan negeri Mohd Fauzi Salehon.

Mengulas lanjut Muhamad Akmal berkata dengan penggunaan teknologi baharu,hasil tuaian mampu diraih dalam tempoh enam hingga lapan bulan sahaja dengan sasaran pengeluaran hasil kerang dianggarkan mampu mencapai kira-kira 750 tan metrik setahun berbanding kaedah ternakan tradisi yang mengambil masa 18 hingga 24 bulan. 

Katanya ia secara tidak langsung dilihat mampu memberi pulangan lumayan kepada peserta terlibat sekaligus dapat meningkatkan pendapatan nelayan selain tidak bergantung kepada hasil tangkapan di laut semata.

"Kawasan tangkapan nelayan semakin mengecil dan terhad akibat pembangunan, menyebabkan hasil tangkapan dijangka berkurangan dan memerlukan sumber baharu. Justeru program ini dapat merancakkan aktiviti akuakultur dan menambah pengeluaran sumber makanan negara.

"Berdasarkan dua lagi program kebun kerang iaitu di Pulau Pinang dan Perak yang telah berjaya mengeluarkan hasil, kita percaya program ini mampu meningkatkan lagi ekonomi nelayan terlibat yang rata-rata mereka adalah golongan B40 untuk meraih pendapatan seperti golongan M40 atau T20 kelak," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan