AM

Pembinaan Kssa: 10 Tapak Dikenal Pasti Untuk Proses Pertukaran Tanah

13/05/2023 12:19 AM

SABAK BERNAM, 12 Mei (Bernama) -- Kerajaan negeri Selangor telah mengenal pasti 10 tapak tanah untuk proses pertukaran tanah bagi membiayai kos pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang dijangka bermula proses pembinaannya pada tahun ini.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata lokasi tanah berkenaan antaranya berada di Hulu Selangor dan Pelabuhan Klang dengan proses pertukaran tanah akan dilakukan berdasarkan tahap kemajuan projek terbabit. 

“Insya-Allah, kita tidak akan ganti sekali gus namun kita akan tengok mengikut kemajuan. Kalau kemajuan sampai angka tertentu, kita serahkan tanah. Kita dah tawarkan (kepada pemaju) dan sedang muktamadkan sikit sahaja lagi,” katanya selepas merasmikan Pusat Smart Desa di Kampung Air Tawar di sini hari ini.

Ditanya mengenai jadual projek pembinaan, Amirudin berkata projek tersebut sedikit tersasar daripada jadual asal dan pihaknya menjangkakan pembangunan itu akan bermula pada tahun ini.

“Diharapkan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) tetapi nanti orang cakap projek PRN pula. Saya bukan tentukan PRN sebagai perimeter tetapi berdasarkan proses. Kita tidak mahu proses itu dilanggar atau dibuat secara tergesa-gesa,” katanya.

Pada 15 Julai tahun lepas, kerajaan Selangor melantik Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB), untuk melaksanakan pembangunan baharu Stadium Shah Alam dan kemudahan sukan sekitarnya, dengan kos ditetapkan sekitar RM787 juta.

Terdahulu, beliau berkata Pusat Smart Desa yang dibangunkan di dua lokasi iaitu di Kampung Sungai Air Tawar di sini dan Kampung Endah, Kuala Langat bakal menjadi projek rintis kepada pembangunan penduduk luar bandar terutamanya untuk pelajar sekolah.

“Pusat itu boleh digunakan untuk menganjurkan kelas tambahan selain menjadi pusat internet. Setiap projek menelan belanja sebanyak RM200,000 yang dikeluarkan kerajaan Persekutuan namun dikelola kerajaan Selangor,” katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan