AM

Selangor Peruntuk Rm1.65 Juta Untuk Program Insentif Haji Muassasah

17/05/2023 04:08 PM

SHAH ALAM, 17 Mei (Bernama) -- Kerajaan Selangor menerusi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntukkan sebanyak RM1.65 juta untuk program Insentif Haji Muassasah 1444H/2023M.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata menerusi insentif berkenaan, seramai 3,000 bakal jemaah haji Selangor khususnya golongan B40 dan M40 dijangka mendapat manfaat bertujuan memudahkan urusan haji mereka tahun ini.

Beliau berkata setiap jemaah yang memohon dan menepati syarat kelayakan akan diberikan bantuan wang tunai sebanyak RM500 serta kit syifa termasuk ubat-ubatan, cecair pembasmi kuman, losen, serta pelembap bibir. 

“Permohonan bagi insentif ini akan dibuka bermula 19 Mei ini hingga 25 Ogos depan.

“Bagi memudahkan proses pendaftaran, ia akan dilaksanakan menerusi Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dan akan diselaraskan oleh MBI selaku pelaksana program,” katanya menerusi kenyataan.

Amirudin berkata jemaah yang layak memohon mestilah warganegara Malaysia dan perlu mengemukakan salinan surat tawaran mengerjakan haji muassasah yang mengandungi kenyataan bayaran haji serta salinan jadual penerbangan. 

“Untuk maklumat lanjut, sila rujuk kepada Pusat Khidmat Masyarakat DUN masing-masing melalui pautan https://bit.ly/3ByFSxm,” katanya.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan