SUKAN

Sukan Dodgeball Harap Diperkenal Di Sukma 2024 - Radhakrishnan

25/05/2023 01:13 PM

SHAH ALAM, 25 Mei (Bernama) -- Persatuan Dodgeball Malaysia (MAD) menaruh harapan tinggi untuk melihat sukan itu dipertandingkan pada temasya sukan terbesar negara, Sukan Malaysia (Sukma) 2024.

Presidennya Datuk N. Radhakrishnan berkata langkah untuk menyaksikan sukan tersebut membuat penampilan sulung di temasya itu yang akan berlangsung di Sarawak, bagaimanapun masih dibincangkan dengan negeri tuan rumah.

"Melihat kepada sambutan masyarakat sudah semestinya kami mahu sukan ini kalau boleh dimasukkan dalam Sukma, namun ia bergantung kepada negeri yang menganjurkannya.

"Kami sedang berunding dengan mereka supaya dodgeball akan ada di sana (Sarawak) nanti. Walau bagaimanapun, jika tidak tersenarai sebagai sukan kompetitif kami harap ia disenarai sebagai sukan pertunjukan," katanya ketika ditemui pada Kejohanan Dodgeball Jemputan Asia Pasifik (API) di Kompleks Sukan Shah Alam (Stadium Panasonic) di sini hari ini.

Terdahulu, kejohanan yang disertai 140 kelab daripada 16 negara itu dirasmikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim.

Menurut Radhakrishnan pengenalan sukan dodgeball di Sukma, pada masa sama akan menjadi pencetus langkah bagi melihat ia turut diperkenalkan di temasya Sukan SEA 2025 di Thailand serta Sukan SEA 2027 apabila negara bergelar tuan rumah.

"Jika kita mahu lihat sukan ini dalam Sukan SEA banyak negara perlu turut serta. Sekarang ini daripada 10 negara Asia Tenggara hanya tujuh yang bermain  dodgeball, tapi ia satu penanda aras yang bagus untuk sukan ini dipertandingkan di Sukan SEA," katanya.

Sementara itu, Adam Adli menyifatkan Kejohanan API yang berlangsung hari ini hingga Ahad mampu menaikkan imej sukan itu di masa akan datang.

“Bagi saya kejohanan seperti ini pun sudah cukup baik untuk tingkatkan penyertaan dan dalam masa sama orang ramai akan mendapat pendedahan lebih mengenai sukan ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan