IPOH, 28 Mei (Bernama) -- Pameran Mini Karnival yang diadakan sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 di Mydin Meru di sini selama dua hari bermula Sabtu mendapat sambutan menggalakkan kerana memberi peluang pengunjung mendapatkan pelbagai maklumat dan menyertai pelbagai aktiviti yang ditampilkan.
Lebih 5,000 pengunjung, yang kebanyakannya hadir bersama keluarga, menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan pada mini karnival yang kira-kira 14 agensi kerajaan dan swasta itu.
Acara di reruai hari ini diserikan lagi dengan kehadiran Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil serta timbalannya Teo Nie Ching diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional (BERNAMA) Roslan Ariffin dan Ketua Penyiaran (TV dan Radio) Bernama D. Arul Rajoo.
Orang ramai turut mengambil peluang bergambar kenangan bersama Fahmi dan Teo yang beramah mesra bersama para pengunjung selepas melawat setiap reruai pada mini karnival berkenaan.
Seorang peniaga, Tan Lim Ho, 45, berkata dia amat teruja apabila kali pertama mendapat peluang melawat pameran yang disediakan terutama berkaitan dengan stesen penyiaran berita.
“Ini kali pertama saya menyertai pameran seperti ini. Selalu lihat di TV sahaja, saya melawat pameran di booth Media Sarawak, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Bernama," katanya.
Sementara itu, pekerja kilang Hamidah Jalil, 49, yang tinggal berdekatan berkata dia teruja apabila melihat banyak gegantung diletakkan sepanjang jalan dan sudah bercadang untuk hadir bersama anak-anak.
“Saya hadir ke sini untuk membeli barang rumah, jadi alang-alang saya singgah ke pameran ini untuk melihat apa aktiviti yang boleh dilakukan bersama anak-anak selain dapat maklumat daripada agensi yang terlibat,” katanya.
Mini Karnival disertai 14 agensi kerajaan dan swasta iaitu Bernama, Jabatan Penerangan Malaysia, RTM, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Tourism Perak.
Turut terlibat Media Sarawak, The Vibes.Com & Getaran.My, Cybersecurity Malaysia, Jabatan Perlindungan Data Peribadi, Institut Darul Ridzuan, Majlis Daerah Selama, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan PerakFM.
Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional dan ia dipilih sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial