AM

Unisza Dekati Orang Asli Beri Pendedahan Kesihatan, Jayakan Malaysia Madani

03/06/2023 04:35 PM

KEMAMAN, 3 Jun (Bernama) -- Penduduk Orang Asli di Kampung Sungai Pergam di sini hari ini, didedahkan dengan kesedaran dan kepentingan penjagaan kesihatan menerusi program Cakna Kesihatan Malaysia MADANI: Kembara Kasih Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UNiSZA). 

Program hasil kolaborasi Persatuan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu, dihadiri kira-kira 157 ketua isi rumah serta 524 penduduk setempat. 

Naib Canselor UNiSZA Prof Dr Fadzli Adam berkata menerusi program tersebut, UNiSZA cuba untuk menjayakan tonggak keempat Malaysia MADANI iaitu Hormat, dalam kalangan penduduk Orang Asli dari aspek penjagaan kesihatan. 

"Mengambil tonggak keempat Malaysia MADANI, kita hormat kepada mereka iaitu dengan beri satu keyakinan bahawa mereka boleh menjaga kesihatan diri sebaik mungkin. 

"Hari ini, kita tekankan cara-cara untuk mereka jaga kesihatan diri antaranya melalui pemeriksaan kesihatan, promosi gaya hidup sihat, fokus kepasa amalan pemakanan sihat dan aktiviti fizikal yang selamat," katanya kepada Bernama di sini hari ini. 

Program berkenaan merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Prihatin, Komuniti Sejahtera (KRIS), yang bertujuan memasyarakatkan warga akademik serta memupuk semangat kesukarelawanan yang tinggi dalam kalangan warga institusi pengajian tinggi dan KPT. 

Pada program sama, tiga pasangan Orang Asli turut diraikan menerusi majlis perkahwinan yang ditanggung sepenuhnya oleh JAKOA dan penganjur bersama.

Andrew Dandi, 47, ketika ditemui berkata  beliau dan pasangannya, Junaidah Chik, 47, teruja apabila diraikan serta diberi penghormatan sebegitu rupa dalam majlis tersebut.

"Ini pengalaman pertama saya. Saya ambil bahagian dalam program perkahwinan ini setelah dimaklumkan oleh imam kampung baru-baru ini, Alhamdulillah pagi tadi kami dan pasangan masing-masing selamat diijabkabulkan.

"Saya berterima kasih dengan pihak penganjur yang menguruskan semuanya termasuk pakaian pengantin yang dipakai hari ini. Saya cuma perlu bayar kos hantaran sahaja," katanya yang merupakan saudara baharu dan bekerja sendiri di kampung berkenaan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan