EKONOMI

Mag Tawar Penerbangan Tambahan Bagi Tempoh Perjalanan Semasa Hari Raya Aidiladha

06/06/2023 08:45 PM

KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Syarikat penerbangan di bawah Malaysia Aviation Group Bhd (MAG), Malaysia Airlines dan Firefly, akan menawarkan penerbangan tambahan bagi tempoh perjalanan semasa Hari Raya Aidiladha, bermula dari 23 Jun hingga 6 Julai, 2023.

MAG dalam satu kenyataan hari ini berkata ia akan menambah 37 penerbangan tambahan bagi Malaysia Airlines dan menaik taraf 12 perkhidmatannya kepada pesawat Airbus 330 bagi laluan Kota Kinabalu dan Kuching.

“Sementara itu, Firefly akan menawarkan enam penerbangan tambahan antara Kota Bharu dan Subang dan Pulau Pinang ke Langkawi semasa tempoh perjalanan puncak ini,” katanya.

“Kami menggalakkan pengembara untuk memanfaatkan tawaran hebat ini dan menempah perjalanan mereka lebih awal, supaya mereka boleh melakukan perjalanan dengan tenang menggunakan khidmat penerbangan Malaysian Hopitality,”  kata Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan MAG Ahmad Luqman Mohd Azmi. 

Menurut kenyataan itu, pelanggan boleh melakukan perjalanan dengan mudah semasa musim perayaan melalui diskaun menarik yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan tersebut untuk semua destinasi domestik dan antarabangsa terpilih mulai hari ini hingga 19 Jun 2023, untuk perjalanan segera sehingga 30 Nov, 2023.

Pada masa yang sama, ia berkata, Firefly menawarkan potongan tambang 18 peratus bagi ahlinya dan 16 peratus bagi bukan ahli, tersedia mulai hari ini hingga 18 Jun 2023, untuk perjalanan segera sehingga Dis 31, 2023, bersempena meraikan ulang tahunnya yang ke-16. 

“Selain itu, pelanggan boleh mendapatkan diskaun tambahan 16 peratus untuk pemilihan tempat duduk, bagasi berdaftar, peralatan sukan dan insurans perjalanan dalam tempoh ini,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan