KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Seorang ibu dan teman lelakinya yang tular di media sosial didakwa di dua mahkamah di sini, hari ini atas pertuduhan mendera seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun 11 bulan dengan memukul mangsa menggunakan tangan dan penyangkut baju, awal bulan ini.
Remaja perempuan berusia 17 tahun itu mengaku bersalah mendera anaknya dengan memukul mangsa menggunakan tangan sehingga cedera di sebuah unit pangsapuri di Setapak di sini antara 4 hingga 7 Jun lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, Majistret Nur Farahain Roslan membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Julai depan untuk menjatuhkan hukuman sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Teman lelakinya, Amir Shafiq Shuaimy, 31, pula didakwa di Mahkamah Sesyen mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana menggunakan penyangkut baju sehingga menyebabkan kecederaan kepada kanak-kanak perempuan berkenaan dan kesalahan itu dilakukan di tempat dan tarikh sama.
Timbalan Pendakwa Raya Roslizi Sulaiman menawarkan jaminan RM30,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran serta dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
"Dalam kes ini, mangsa mengalami kecederaan serius melibatkan keseluruhan badan, bengkak-bengkak serta terdapat kesan lebam di bahagian kaki dan ia disahkan berdasarkan laporan awal perubatan. Selain itu, kes ini telah mendapat perhatian umum," katanya.
Sementara itu, Amir Shafiq yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan dengan alasan dia menanggung isteri yang sedang mengandung dua bulan, empat anak dan ibunya.
Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi membenarkan tertuduh diikat jamin RM16,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan dan menetapkan 11 Julai ini untuk sebutan kes bagi serahan dokumen serta lantikan peguam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial