KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- “Bagai menatang minyak yang penuh”, begitulah diibaratkan kasih sayang ibu bapa kepada anak mereka, namun, kanak-kanak juga adakalanya diuji dengan masalah kesihatan di luar jangka dengan satu daripadanya ialah tumor otak yang menakutkan dan menggerunkan.
Pertumbuhan yang tidak diingini pada bahagian otak kanak-kanak boleh menjadi topik yang menakutkan untuk dibincangkan, namun penting untuk kita memahaminya terutama bagi golongan ibu bapa kerana ia memberi kesan terhadap gaya hidup, kesejahteraan dan jangka hayat seseorang kanak-kanak.
Pakar Perunding Pediatrik dan Pediatrik Hematologi dan Onkologi Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway Dr Yap Tsiao Yi dalam kenyataan berkata tumor otak boleh berlaku pada mana-mana peringkat umur dan ia kanser kedua tertinggi serta tumor pepejal yang paling lazim ditemukan pada kanak-kanak.
“Tumor otak yang berlaku pada kanak-kanak dikenali sebagai tumor primer kerana ia berpunca daripada sel tumor otak, manakala tumor otak metastatik (tumor sekunder) atau tumor yang merebak daripada sel-sel kanser dari bahagian badan yang lain ke otak adalah kurang lazim terhadap kanak-kanak tetapi masih boleh berlaku dalam jenis kanser kanak-kanak tertentu,” katanya.
Sehubungan itu, Dr Yap menegaskan kepentingan mengenali tanda dan gejala tumor otak pada kanak-kanak kerana penting untuk pengesanan awal.
Beliau berkata walaupun banyak petanda dan simptom bergantung kepada usia kanak-kanak dan lokasi tumor di dalam otak, secara umumnya, tumor yang semakin membesar boleh menolak otak sehingga menyebabkan tekanan terus ke tisu otak atau penyumbatan yang menghalang aliran cecair di dalam otak (cecair serebrospinal) yang boleh mengakibatkan sakit kepala dan muntah-muntah.
“Adakalanya tumor otak tertentu boleh menyebabkan peningkatan pengeluaran cecair serebrospinal dan jika terdapat pada bayi yang lebih muda di bawah usia setahun, ia boleh menyebabkan pertambahan saiz kepala, muntah, tumbesaran terbantut dan atau kerengsaan (menangis yang tidak dapat ditenangkan tanpa sebab,” kata Dr Yap.
Katanya, bagi kanak-kanak lain, mereka boleh menunjukkan simptom seperti sakit kepala, muntah terutamanya pada awal pagi, loya, mengalami kerengsaan atau perubahan personaliti dan pada peringkat seterusnya gejala seperti mengantuk serta kurang bertindak balas sehingga boleh menyebabkan koma dan jika tidak dirawat, boleh menyebabkan kematian.
Selain itu, pesakit juga mungkin menunjukkan tanda lain seperti penglihatan berganda, penglihatan kabur serta masalah perubahan penglihatan yang lain, pergerakan mata yang tidak normal, pertuturan yang tidak jelas, lumpuh atau kelemahan bahagian muda atau badan, masalah komunikasi, masalah berjalan serta sawan.
“Sehubungan itu, ibu bapa digalakkan mengetahui tanda dan simptom berkenaan, mereka harus segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut manakala bagi kes kecemasan, mereka perlu membawa anak-anak ke jabatan kecemasan secepat mungkin,” katanya.
Mengenai diagnosis tumor otak terhadap kanak-kanak, Dr Yap berkata ia memerlukan pemeriksaan latar belakang dan fizikal yang komprehensif oleh doktor, khususnya pemeriksaan neurologi menyeluruh, dan jika sesuai, menggunakan imbasan tomografi berkomputer atau pengimejan resonans magnetik (MRI) otak.
“Apabila tumor dijumpai pada imbasan pengimejan, ujian darah boleh dilakukan untuk menentukan sama ada penanda tumor meningkat. Kadangkala, tusukan lumbar (ketukan di tulang belakang) diperlukan untuk memeriksa cecair serebrospinal untuk sel-sel tumor manakala biopsi terhadap tumor boleh membantu mengesahkan diagnosis,” katanya.
Dari segi pilihan rawatan selepas diagnosis, Dr Yap menjelaskan ia bergantung kepada jenis tumor otak antaranya memerlukan pembedahan untuk membuangnya, kemoterapi, terapi radiasi atau ketiga-tiga jenis rawatan berkenaan dengan tempoh pemulihan tertakluk kepada pilihan rawatan yang dijalani.
“Tumor otak pastinya memberi kesan besar terhadap kehidupan kanak-kanak kerana perlu melalui proses rawatan, janji temu perubatan, menginap di hospital dan berisiko mengalami kesan sampingan yang mampu mengganggu rutin harian serta interaksi sosial mereka.
“Bagaimanapun, perlu ditekankan bahawa dengan kemajuan sains perubatan serta melakukan pengesanan awal dan menjalani rawatan perubatan yang betul, ramai kanak-kanak dan ahli keluarga mereka berjaya mengatasi cabaran apabila didiagnos menghidap tumor otak,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial