EKONOMI

Industri Runcit Dijangka Terus Catat Pertumbuhan Dua Angka Tahun Ini - Mrca

23/06/2023 04:36 PM

PETALING JAYA, 23 Jun (Bernama) -- Industri runcit Malaysia berkemungkinan mencatat pertumbuhan dua angka, melepasi anggaran pertumbuhan purata 9.0 peratus tahun ke tahun, kata Persatuan Rantaian Runcit Malaysia (MRCA).

Timbalan Presidennya Ken Phua berkata beliau optimis mengenai sektor itu, didorong oleh usaha kukuh kerajaan untuk menarik dan merealisasikan pelaburan langsung asing (FDI).

Malaysia menarik FDI bernilai US$70 bilion pada suku pertama tahun ini.

Terdapat perubahan dalam industri runcit dan perubahan ini sedang berkembang maju dan menuju ke arah yang betul selaras dengan agenda pendigitalan yang menjadi matlamat kerajaan, kata Phua.

“Dengan inflasi kita di bawah 4.0 peratus dan kadar pengangguran pada 3.9 peratus, akan ada penggunaan tenaga kerja yang optimum pada masa hadapan, bermakna akan ada pengambilan pekerja, tetapi hanya interaksi manusia diperlukan,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Pusat Pengalaman Teknologi Runcit Web Bytes dan Wonders Cafe di sini hari ini.

Mengenai ringgit yang semakin lemah, Phua berkata ini sebahagiannya disebabkan oleh import barangan dari luar negara termasuk pembelian besar seperti kenderaan, yang telah menambah tekanan ke atas ringgit.

“Ini disebabkan oleh corak penggunaan dan perbelanjaan ‘membalas dendam’ selepas pandemik. Orang ramai menabung (kerana mereka tidak dapat pergi ke mana-mana semasa perintah berkurung) dan mereka kini berbelanja untuk apa yang mereka mahukan,” katanya. Beliau berkata walaupun ringgit semakin lemah, ia akan stabil pada satu masa kelak.

Sementara itu, untuk merancakkan lagi industri runcit, Ekspo Francais Malaysia akan dianjurkan dari 7-9 Julai 2023 di Kuala Lumpur, katanya.

Ekspo itu dijangka menarik kira-kira 40,000 peserta dan pelawat dari 17 negara dengan jangkaan urus niaga bernilai RM120 juta diraih sepanjang acara tiga hari itu.

Industri runcit merekodkan kadar pertumbuhan 33.3 peratus pada 2022 selepas dua tahun yang tidak menggalakkan pada 2020 dan 2021, katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan