JENAYAH & MAHKAMAH

LAPAN MASIH HILANG DALAM TRAGEDI KEPALA AIR DI KEMAMAN - POLIS

02/07/2023 09:43 PM

KUALA TERENGGANU, 2 Julai (Bernama) -- Polis mengesahkan dua mangsa maut yang ditemukan selepas kejadian kepala air di Jeram Mawar, Air Putih di Kemaman merupakan ibu dan anak, manakala lapan individu lagi masih hilang.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata setakat ini, sembilan mangsa disahkan daripada keluarga yang sama, manakala identiti seorang lagi masih belum dikenal pasti. 

"Mayat pertama yang ditemukan dikenali Azizah Eiyi, 40, manakala mayat kedua ialah anak mangsa Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11. Identiti mereka disahkan selepas pengecaman mayat dibuat.

"Identiti tujuh lagi mangsa daripada keluarga berkenaan yang berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang telah dikenal pasti dan butiran mangsa akan dimaklumkan esok," katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat telah dihentikan pada pukul 6 petang tadi atas faktor cuaca dan akan disambung semula pada 8 pagi esok. 

Petang tadi Bernama melaporkan 10 individu dipercayai lemas akibat dihanyutkan arus deras dalam kejadian kepala air ketika berkelah di kawasan rekreasi itu. 

Dua mayat pertama iaitu Azizah ditemukan orang ramai di tebing sungai berhampiran Kubur Kampung Laut manakala Muhammad Zulqarnain Haikal dijumpai di atas kayu di tebing sungai menuju ke Tasik Hutan Sungai Air Putih pada pukul 12.45 tengah hari.

Pemantauan polis di lokasi kejadian turut menemukan sebuah kereta jenis Proton Gen2 dan sebuah motosikal jenis SYM kira-kira dua kilometer dari lokasi penemuan mayat kedua. 

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan