AM

Keselamatan Siber Sering Diabai, Tidak Diberi Perhatian Sewajarnya - Pm Anwar

10/07/2023 04:28 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Keselamatan Siber sering diabaikan dan tidak diberikan perhatian yang memadai walaupun semasa Malaysia gigih mengharungi transformasi digital, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata bagi mencapai masa depan digital yang selamat, adalah penting untuk memupuk budaya keselamatan dan keberkesanan siber di seluruh negara, serta mewujudkan dan mengekalkan sistem, aplikasi dan infrastruktur yang selamat.

"Kita juga perlu sedar bahawa langkah perlindungan perlu diseimbangkan dengan kemudahan penggunaan. Langkah pemantauan dan pengesanan adalah penting, privasi perlu dipelihara," kata perdana menteri dalam ucapannya pada pembukaan Pameran dan Persidangan Pertahanan dan Keselamatan Siber (CYDES) 2023 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, yang merasmikan acara itu bagi pihak perdana menteri.

Selain itu Anwar berkata, tidak ada dasar keselamatan siber negara boleh digubal dan dilaksanakan dengan jayanya tanpa pendekatan kolaboratif antara pelbagai pihak oleh kerajaan, industri, ahli akademik dan masyarakat sivil.

Beliau berkata pendekatan kolaboratif bukan sahaja menggalakkan perkongsian maklumat dan pengetahuan, malah ia juga menyediakan elemen paling penting yang diperlukan dalam persekitaran siber, iaitu elemen kepercayaan (trust).

"Ini juga merupakan sebab kita anjurkan CYDES 2023 ini, untuk melibatkan dan membina kepercayaan. Kepercayaan adalah penting dalam persekitaran digital. Membina dan mengekalkan kepercayaan ialah usaha berterusan dan bergerak dua hala.

"Kita perlu percaya bahawa penyedia teknologi membangunkan dan memperkenalkan teknologi tanpa sebarang agenda tersembunyi. Kita juga mahukan jaminan bahawa pengaliran data dalam persekitaran digital kekal dengan integriti, kerahsiaan dan ketersediaannya kepada pengguna yang dibenarkan," tambahnya.

Oleh itu, beliau berkata kepercayaan terhadap dasar dan strategi kerajaan adalah penting, menonjolkan kepentingan kepercayaan digital, sama seperti kepercayaan dalam interaksi fizikal antara kerajaan dan pihak berkepentingan, serta antara kerajaan dan kerajaan.

Anwar berkata CYDES 2023 dengan tema “Membina Ketahanan Siber: Melindungi Masa Depan Digital” adalah selari dengan prinsip dan matlamat MADANI untuk mentransformasikan Malaysia menjadi sebuah negara makmur dan maju, dengan menerima perubahan, menggabungkan perspektif yang pelbagai dan melaksanakan reformasi substantif.

CYDES 2023 anjuran Majlis Keselamatan Negara, Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan (NACSA) dan Alpine Integrated Solution Sdn Bhd, bermula hari ini hingga 13 Julai di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan