PELABUHAN KLANG, 14 Julai (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM9.018 juta bagi projek pemasangan lampu jalan jenis solar diod pemancar cahaya (LED) di 120 Kampung Baru Cina seluruh negara.
Menterinya Nga Kor Ming berkata projek pemasangan sebanyak 1,002 batang lampu itu merupakan satu daripada program di bawah inisiatif bajet khas yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan untuk tahun ini dengan permohonan dikemukakan melalui Pegawai Kemajuan Perkampungan.
“Pemasangan lampu LED ini merupakan fasa pertama yang melibatkan Perak, Selangor, Kelantan, Pahang dan Johor manakala empat lagi negeri sedang dalam pertimbangan.
“Kerja-kerja pemasangan lampu ini akan dimulakan dalam kadar segera menjelang November ini dan saya ucapkan tahniah kepada Pulau Ketam kerana merupakan kampung pertama (Kampung Baru Cina pertama) menerima inisiatif baharu ini,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja sempena Program Sentuhan Kasih KPKT di Kampung Bagan, Pulau Ketam hari ini.
Nga turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.032 juta kepada Pejabat Tanah dan Daerah Klang serta Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor bagi menaik taraf dan menyelenggara infrastruktur awam di Pulau Ketam.
“Peruntukan tersebut untuk kerja membaik pulih laluan pejalan kaki konkrit, pembinaan konkrit baharu di kawasan Pulau Ketam melibatkan Tapak Pembuangan Sisa Pepejal, Sungai Satu Bagan serta baik pulih dan naik taraf jambatan utama ke seberang sungai Bagan Teow Chew.
“Dengan peruntukan ini kerajaan Persekutuan berharap dapat menambah keselesaan dan kesejahteraan lebih kurang 6,000 penduduk di Pulau Ketam,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial