FOKUS BERNAMA

Bakti Doktor Pelarian Myanmar Bantu Mereka Yang Senasib

20/07/2023 02:31 PM
Daripada Nina Muslim

Di dalam dan di luar klinik sudah ramai lelaki, wanita serta anak-kanak mundar-mandir menunggu nama mereka dipanggil, dan kelihatan juga kakitangan perubatan bergegas menghampiri seorang budak lelaki yang terbaring di atas katil pemerhatian.

Berbadan kurus, budak yang dimaklumkan berusia 16 tahun itu menggigil tanpa henti dan berada dalam keadaan hampir tidak sedarkan diri ketika jururawat mengambil suhu badannya. Bacaan suhu 104 darjah Fahrenheit. 

“Panggil Dr Iqbal,” jururawat itu bersuara, sementara seorang lagi jururawat mengambil darah budak lelaki itu.

Klinik yang terletak di deretan rumah kedai itu adalah Klinik QFFD (Dana Qatar untuk Pembangunan), yang memberi perkhidmatan kepada pelarian dan pencari suaka di Malaysia.

Sejurus muncul Dr Mohammad Iqbal Omar, tinggi dan kurus orangnya, berkulit sawo matang dan bercermin mata. Gaya beliau bergerak mungkin meletakkan beliau dua dekad lebih muda daripada usianya yang sebenar iaitu 61 tahun. Di sebalik rambut yang memutih, tidak kelihatan kedutan di wajahnya. Beliau tampak mudah mesra dan murah senyuman.

Bercakap menerusi seorang jurubahasa, budak itu memberitahu Dr Iqbal bahawa dia mempunyai simptom sudah beberapa minggu tetapi tidak dapat mencari orang untuk membawanya ke klinik. Budak lelaki ini adalah keturunan Rohingya yang terpaksa melarikan diri dari kampung halaman dan tiba di Malaysia dari Myanmar baru-baru ini. Dia sedang menunggu untuk mendaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

pic-2

Dr Iqbal, anak kelahiran Yangon, Myanmar, mengesyaki budak itu menghidap malaria, penyakit yang secara mandatori perlu dilaporkan. Beliau terus mengarahkan kakitangannya membuat ujian malaria ke atas budak lelaki itu bagi mengesahkan diagnosis dan melaporkan kepada Klinik Kesihatan Awam yang berhampiran.

“Saya mempunyai pengalaman dengan malaria di negara kelahiran saya,” beliau memberitahu Bernama. 

Namun bukan itu sahaja pengalaman Dr Iqbal. Sebelum melarikan diri dari Myamar pada tahun 1989 selepas menyertai kebangkitan 8 Ogos, 1988, beliau adalah pegawai penyelidik perubatan untuk Komplikasi Serebrum dan Malaria di Yangon, Myanmar. 

Kebangkitan itu, antara beberapa siri protes terhadap kerajaan ala-Soviet ketika itu, dan diikuti dengan pengambilan alih kuasa secara ganas oleh pihak tentera, melonjakkan Aung San Suu Kyi sebagai ikon demokrasi. Bagi Dr Iqbal dan ramai lagi rakan sekerjanya, apa yang berlaku memaksa mereka meninggalkan Myanmar daripada menanggung risiko ditangkap atau mungkin menghadapi keadaan yang lebih teruk lagi.

“Lagi pun saya tak nampak ada masa depan saya. Tak ada keistimewaan menjadi seorang Muslim di Myanmar dan hanya akan mengalami nasib malang,” katanya. 

Kebanyakan rakan sekerjanya pergi ke Amerika Syarikat sementara beliau memilih untuk ke Malaysia dan kemudian mendapati diri beliau merawat ribuan rakyat dari Myanmar, yang bertindak lari meninggalkan negara kelahiran mereka untuk menyelamatkan diri daripada keganasan dan penindasan.

Pada ketika orang menganggap orang Islam dari Myanmar, seperti Rohingya, sebagai membebankan, melihat seseorang seperti Dr Iqbal, seorang yang beragama Islam dan seorang doktor dan dari sebuah negara yang bergelumang dengan masalah di Malaysia, kehadirannya bagaikan satu tuah.

 

BERANI

Sebenarnya bukan mudah untuk meninggalkan negara sendiri serta keluarga untuk memulakan kehidupan baharu di negara orang tetapi bagi Dr Iqbal, segalanya berlaku dengan mudah.

Beliau memberitahu Bernama, junta tentera yang mengambil alih pemerintahan Myammar membenarkan sesiapa yang mahu meninggalkan negara itu untuk berbuat demikian dan beliau memilih Malaysia kerana majoriti penduduknya beragama Islam. Beliau yakin Malaysia akan memberi peluang untuk beliau meraih kecemerlangan dan tidak akan ditindas kerana agamanya.

Tiga bulan selepas tiba di negara ini, beliau diambil berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Universiti Sains Malaysia pada tahun 1989. Beliau kemudian membawa isterinya, seorang jururawat dan bayi mereka yang baharu dilahirkan untuk tinggal di negara ini.

Sejak itu, karier beliau sebagai ahli akademik terus meningkat. Beliau pernah berkhidmat dengan Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Hospital Pusrawi dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Keluarganya juga bertambah, menimang dua cahaya mata.

Pada tahun 1998, beliau memperolehi taraf penduduk tetap dan menjadi warganegara Malaysia pada tahun 2008. Dr Iqbal mula melakukan kerja sukarelawan dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) perubatan, MERCY Malaysia pada tahun 2006. Perkhidmatan yang disediakan adalah penjagaan perubatan serta bantuan kemanusian penduduk tempatan dan pelarian di Malaysia serta mangsa bencana di luar negara. 

Menurut UNHCR, terdapat kira-kira 181,560 pelarian dan pencari suaka berdaftar dengan pejabat mereka di Malaysia setakat Jun 2023. Kumpulan terbesar adalah dari Myanmar iaitu sekitar 157,730, terdiri daripada 105,760 Rohingya, 23,300 Chin, and 28,670 dari kumpulan etnik lain, dari kawasan yang terjejas akibat konflik atau melarikan diri daripada penindasan di Myanmar. 

Pada tahun-tahun sebelum ini, Dr Iqbal melakukan perjalanan ke banyak negara, seperti Syria, Libya, Turkiye, Afghanistan dan Pakistan, untuk memberikan bantuan perubatan serta kemanusian, dan sering kali berhadapan dengan keadaan yang sukar dan berbahaya.

Beliau adalah juga salah seorang daripada beberapa orang doktor yang pergi menghulurkan bantuan perubatan kepada penduduk di Fukushima, Japan sejurus selepas berlaku tsunami pada tahun 2011, apabila kerosakan ke atas reaktor nuklear belum lagi dapat diperbaiki.

“Kami ada Geiger counter (untuk mengesan kehadiran dan tahap radiasi),” katanya, untuk menjelaskan risiko tinggi yang dihadapi.

pic-3

Naib Presiden MERCY Malaysia Dr Shalimar Abdullah menyertai Dr Iqbal ke Jepun, dan menyifatkan beliau sebagai “berani,” dan seorang yang tidak takut dengan bahaya dalam memberikan perkhidmatan kepada orang lain.

Beliau memberi contoh pada awal merebaknya COVID-19 pada tahun 2020, apabila Dr Iqbal mengetuai usaha membuat ujian dalam kalangan pelarian dan pencari suaka. Keadaan pada masa itu amat menekan kerana tidak banyak yang diketahui tentang COVID-19 dan masih belum ada vaksin atau rawatan.

“Malahan saya juga bimbang kerana saya tinggal dengan ibu bapa saya, Saya takut jika saya buat ujian itu dan bila kembali ke rumah, saya jangkiti ibu bapa saya. Tapi bagi Dr Iqbal, beliau sepatutnya bimbang tapi dia ok je,” katanya.

Ironisnya, Dr Iqbal akan berhati-hati apabila beliau perlu ke Myanmar untuk misi perubatan atau memberi bantuan kemanusiaan.

Menurut Dr Shalimar, Dr Iqbal akan tinggal di ibu negara dan tidak masuk ke kawasan kampung.

“Di Myanmar, beliau berada dalam keadaan sukar. Beliau tidak boleh menunjukkan beliau adalah orang Myanmar, beragama Islam, dan kami tidak boleh menghantar beliau untuk sebarang misi ke Myanmar,” katanya. 

Dr Iqbal mengesahkan apa yang dikongsi Dr Shalimar. “Saya berasa selamat apabila saya memperolehi pasport Malaysia,” katanya. 

Di sebalik semua kesulitan itu, Dr Iqbal tidak memutuskan langsung hubungannya dengan negara kelahirannya itu. Ibunya masih tinggal di negara itu dengan adik perempuannya serta keluarga (adiknya). Beliau turut mempunyai sepupu di sana.

 

NASIB YANG SERUPA

Membesar di Myanmar banyak membantu Dr Iqbal dalam berurusan dengan pelarian dan pencari suaka di Malaysia, kebanyakannya berasal dari Myanmar. Beliau juga pernah tinggai di wilayah Rakhine, apabila ayahnya ditugaskan di sana sebagai Pegawai Marin dengan Jabatan Pengangkutan Air Dalam Negeri. 

Di sebalik tinggal di situ bertahun-tahun lamanya, beliau tidak bertutur bahasa Rohingya, hanya bahasa Burma, Inggeris dan Melayu.

pic-4

“Dari segi bahasa beliau bukan pakar tetapi beliau memahami psikologi pelarian Myanmar di Malaysia. Mungkin kerana itu beliau mempunyai lebih empati dalam berurusan dengan mereka berbanding kami,” kata Dr Shalimar. 

Empati yang disebut itu adalah  sifat ‘kebaikan’ Dr Iqbal yang memudahkan beliau berurusan dengan orang.

“Kadang kala orang sibuk mencari kebaikan orang tetapi bagi saya, Dr Iqbal ini mempunyai segalanya. Tak cukup kata sifat untuk menggambarkan diri beliau. Beliau seorang yang baik dari semua sudut,” kata Prof Dr Abd Hamid Adom, seorang rakan Dr Iqbal dari UniMAP. 

Untuk pelarian dari Myanmar, melihat seseorang yang dilahirkan di Myanmar yang juga beragama Islam, membawa sedikit sebanyak harapan, jika pun bukan untuk mereka tetapi untuk masa hadapan.

Pekerja kesihatan komuniti di Klinik QFFD, Mohd Anis Mohd Jalil memberitahu Bernama, beliau tidak begitu mengharap meskipun beliau gembira mengetahui asal usul Dr Iqbal.

“Lebih baik tak menaruh harapan tetapi insya-Allah anak-anak saya akan menjadi seperti beliau,” katanya.

Dr Iqbal memahami perasaan putus asa dan mengakui bahawa pergolakan yang berlaku di Myanmar tidak mungkin dapat diselesaikan dalam masa terdekat. Namun, beliau tidak berputus asa.

“Saya cuba tidak berfikir sangat tentang perkara itu. Saya lebih suka menumpukan perhatian saya kepada apa yang saya boleh buat untuk membantu,” katanya.

 

Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan