AM

Kapal Terbalik Di Perairan Sebuyau, Sembilan Kru Hilang

20/07/2023 08:52 PM

KUCHING, 20 Julai (Bernama) -- Sembilan kru dilaporkan hilang dalam insiden kapal terbalik yang berlaku kira-kira empat batu nautika ke barat laut Pulau Burung berdekatan perairan Sebuyau, kira-kira 103 kilometer dari sini, hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata kru yang hilang terdiri dari empat warga tempatan yang dikenali sebagai Chieng Siew Ngiek, Wong Hua Wu, Maxwell Billy Stimba dan Stimba Anak Chuit.

“Empat lagi mangsa merupakan warga Myanmar iaitu That Min July, Ye Lin Htet, Hla Win Tun, Tun Lin Oo dan seorang lagi warga Indonesia bernama Lido Ali Purwanto dengan kesemua mangsa berumur dalam lingkungan 20 hingga 52 tahun,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata Maritim Malaysia menerima laporan berhubung kehilangan kapal itu, yang dikenali sebagai MV Tung Sung, pada kira-kira 9.40 pagi sebelum operasi mencari dan menyelamat dimulakan pada 1.20 tengah hari dengan sebuah aset agensi itu, KM Kinabalu, digerakkan ke lokasi kejadian.

“Bot KILAT 35 dan bantuan aset udara dari Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia turut digerakkan ke kawasan pencarian,” katanya sambil menambah sektor percarian melibatkan kawasan perairan seluas 210.48 batu nautika persegi namun ditangguh setakat 7 malam ini dan disambung semula pada 8 pagi esok.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan