KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti (SC) merancang untuk melancarkan panduan berasaskan prinsip Maqasid al-Shariah sebelum akhir tahun.
Pengerusi Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata menerusi panduan itu, pelabur akan dapat melabur bukan sahaja dalam produk-produk patuh Syariah di Malaysia tetapi juga dalam produk yang sejajar dengan Maqasid-al-Shariah (objektif atau tujuan di sebalik ketetapan Islam).
Beliau berkata Malaysia ialah peneraju global yang telah lama bertapak dalam kewangan Islam, dengan campur tangan dan rangka kerja pengawalseliaan yang inovatif dan perintis.
"Kita mesti memanfaatkan kepimpinan pemikiran kita, menolak sempadan dan terus meluaskan spektrum produk-produk tradisional dan alternatif.
“Ini bermakna ia membolehkan produk dan hasil yang bukan sahaja patuh Syariah tetapi sejajar dengan prinsip Maqasid al-Shariah yang lebih luas, bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk produk-produk Islam yang berprestij,” katanya dalam ucaptama Persidangan Merapatkan Jurang Bakat Industri-Universiti sempena Penyelidikan Pasaran Modal Malaysia-Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (ICMR-SIDC) di sini, hari ini.
Awang Adek juga berkata Malaysia mesti meningkatkan produk-produk alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) serta pembiayaan kemampanan untuk menarik pelabur yang mengutamakan ESG.
Walaupun Malaysia mendahului banyak rakan serantau dari segi pendedahan kemampanan oleh syarikat-syarikat sendirian berhad, beliau berkata kini tiba masanya untuk bekerja secara serius ke arah mengguna pakai piawaian Lembaga Piawaian Kelestarian Antarabangsa (ISSB), yang dijangka berkuat kuasa tahun depan.
"Memandangkan pembangunan aktif dalam tenaga boleh diperbaharui di peringkat domestik di dalam negara dan pengenalan pasaran karbon oleh Bursa Malaysia, kita harus bercita-cita untuk menjadi peneraju serantau dalam produk ESG dan perkhidmatan yang berkaitan ESG," katanya.
Beliau menambah mendorong pertumbuhan yang lebih kukuh dalam pasaran swasta juga harus menjadi keutamaan, kerana pertumbuhannya melalui modal teroka, ekuiti persendirian, pendanaan ramai berasaskan ekuiti dan pembiayaan rakan setara adalah fenomena.
"Ini mesti terus digalakkan untuk membantu akses perusahaan kecil dan sederhana kepada pembiayaan yang sesuai bagi pertumbuhan dan pengembangannya," kata beliau.
Sementara itu, Awang Adek berkata program siswazah pasaran modal SC yang baru dilancarkan, InvestED boleh membantu merapatkan jurang antara permintaan dan bekalan, memastikan lebih ramai tenaga kerja tersedia di masa depan yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan dan kestabilan.
Beliau menyatakan kerjasama di antara pemegang kepentingan utama akan menjadi penting untuk menyelesaikan cabaran di pasaran modal.
"ICMR boleh menerajui 'perantaraan' dan membina hubungan penyelidikan yang lebih kukuh dengan universiti, justeru adalah digalakkan untuk ICMR menjalankan inisiatif ‘Call for Papers’, memfokuskan pada mengenal pasti peluang-peluang di pasaran modal Malaysia dan di rantau ini," tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial