JENAYAH & MAHKAMAH

Tujuh Lelaki Ditahan Bantu Siasatan Pergaduhan Di Kanowit

09/08/2023 07:14 PM

SIBU, 9 Ogos (Bernama) -- Tujuh lelaki tempatan ditahan susulan satu pergaduhan dipercayai berpunca daripada masalah tunggakan gaji di pekan Machan, Kanowit, kira-kira 46 kilometer dari sini, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Kanowit DSP Tega Bilong berkata lima daripada mereka ditahan pada 6.30 petang semalam manakala dua lagi ditahan pada 11 pagi hari ini.

"Kesemua suspek berusia 20 hingga 45 tahun direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh di tempat awam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pergaduhan yang tular menerusi media sosial itu berlaku kira-kira 4.30 petang dengan menyebabkan seorang lelaki cedera pada bahagian tangan akibat dilanggar oleh kenderaan dipandu seorang lelaki lain.

Katanya pihaknya menerima laporan kejadian pada 2.45 petang dan 3.15 petang semalam daripada kedua-dua pihak yang terlibat.

Tega menafikan bahawa kes tersebut melibatkan unsur perkauman seperti yang ditularkan dalam media sosial sekali gus memberi jaminan satu siasatan yang telus dan teliti akan dilakukan segera.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan sebarang spekulasi berkaitan kes itu.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan