JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan Tujuh Remaja Terlibat Kes Pukul

15/08/2023 03:09 PM

JOHOR BAHRU, 15 Ogos (Bernama) -- Polis menahan tujuh remaja termasuk seorang remaja warga asing berusia 14 hingga 17 tahun dipercayai terlibat kes pukul pelajar sekolah di Taman Bistari Indah, di sini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat berkata tujuh remaja yang masih bersekolah itu, ditahan bermula 5.30 petang hingga 9.34 malam tadi di enam lokasi berbeza di daerah ini.

Beliau berkata terdahulu, pihaknya telah menerima laporan daripada seorang remaja berusia 15 tahun  dipercayai mangsa pukul kira-kira 4.09 petang, hari yang sama.

“Pengadu dipercayai dipukul, ditendang, dipijak, disepak dan ditumbuk oleh suspek sehingga mengakibatkan kecederaan dan lebam di bahagian lengan kiri dan kanan, bengkak di bahagian peha kanan dan mengalami kesakitan di keseluruhan tubuh badan.

“Hasil siasatan kejadian berlaku pada 3 petang (9 Ogos) dan dipercayai punca kejadian adalah rasa tidak puas hati oleh suspek utama yang berusia 15 tahun, setelah mangsa berkawan dengan kekasihnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Raub berkata hasil serbuan pihaknya turut merampas sehelai jersi berwarna biru, tiga helai t-shirt lengan panjang biru gelap, sehelai t-shirt lengan pendek warna hitam dan telefon bimbit.

“Enam suspek bersekolah di sekolah yang sama kecuali suspek utama dan mereka ini akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru untuk ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau dengan kedua-duanya,” katanya.

Semalam, tular video berdurasi 59 saat di Facebook menunjukkan seorang remaja lelaki dipukul oleh seorang remaja dan terdapat juga beberapa remaja lelaki lain di sekitarnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan