JENAYAH & MAHKAMAH

Remaja Bawah Umur Didakwa Bunuh Abang Kandung

15/08/2023 03:11 PM

KULIM, 15 Ogos (Bernama) -- Seorang remaja didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh abang kandungnya di rumah mereka di Taman Mahkota, di sini, minggu lepas.

Remaja berumur 17 tahun itu mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan kepadanya, namun tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Sri Pracha Nanthini Balabeda kerana pertuduhan membunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh abangnya berusia 21, dengan menikam tepat pada jantungnya di rumah mereka di Taman Mahkota, di sini kira-kira pukul 10.10 pagi pada 7 Ogos lepas.

Mahkamah menetapkan 26 Sept untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, mahkamah yang sama menjatuhkan hukuman denda RM1,500 terhadap seorang lagi abang tertuduh berusia 26 tahun setelah mengaku bersalah membuat laporan palsu berhubung kejadian itu.

Lelaki itu didakwa membuat laporan bertulis yang diketahui sebagai palsu dengan menyatakan adiknya mati akibat terjatuh di kandang kambing di Balai Polis Kulim kira-kira pukul 12.31 tengah hari pada 7 Ogos lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan kedua-dua kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Insp Mohammad Syafiq Safiei manakala peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, K. Kiren Ram mewakili kedua-dua tertuduh.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan