JOHOR BAHRU, 15 Ogos (Bernama) -- Terminal Feri Antarabangsa Kukup (TFAK), dekat Pontian, telah memulakan operasi laluan baharu ke Terminal Feri Selat Panjang, Riau, Indonesia, bermula semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) Abdul Malik Ismail berkata laluan itu bermula dengan satu perjalanan pada 9.30 pagi waktu Indonesia Barat dan satu perjalanan dari TFAK pada pukul 3 petang waktu Malaysia.
Beliau yang juga Pengurus Besar TFAK berkata pertambahan laluan berkenaan memberi nilai tambah kepada TFAK dalam memberi pilihan destinasi kepada pengunjung untuk ke Indonesia, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.
"Tiket boleh didapati dengan harga perjalanan dua hala bagi dewasa bernilai RM350 manakala kanak-kanak RM200.
"Tambang perjalanan sehala bagi dewasa adalah RM200 dan kanak-kanak RM150, yang boleh memuatkan 238 penumpang dalam satu-satu masa menerusi tiga jam perjalanan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan simbolik pelepasan feri dari TFAK ke Selat Panjang yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Jabatan Laut Wilayah Selatan Khairil Azizi Che Mat dan Pegawai Pemerintah Markas Taktikal Pasukan Polis Marin Wilayah Dua, Kukup ASP Aziz Siyon.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial